Berlian, batu permata curi bernilai RM8.79 ‘juta’ ditemui dalam hutan


Pihak berkuasa Russia menemui sejumlah besar berlian dan batu permata bernilai 1.5 juta pound (RM8.79 juta) yang ditanam dalam hutan selepas dicuri ketika acara Piala Dunia berlangsung pada 2018.

Barangan curi yang disumbat dalam plastik itu berjaya ditemui selepas seorang warga Colombia, Edgar Alejandro Valero membuat pengakuan mencuri dan menanamnya di kawasan berhampiran bandar Kazan.

Berdasarkan laporan, ia dicuri daripada beg bimbit milik seorang pekerja syarikat barang kemas, Seven Diamonds ketika melakukan perjalanan ke sebuah ekspo di bandar yang menjadi hos kepada acara sukan itu.

Beberapa keping gambar didedahkan polis Russia menunjukkan plastik beg itu mengandungi pelbagai barangan berharga termasuk berlian, cincin, kerongsang serta rantai.



Menurut laporan itu juga, video berdurasi 10 minit menunjukkan seorang lelaki memakai topi besbol berjalan di kawasan parkir sebelum diikuti dengan seorang lagi lelaki yang membawa bungkusan besar berwarna merah.

Polis Kazan berkata, mereka mengenal pasti beberapa warga Colombia dan Guatemala sebagai individu yang disyaki sebagai suspek sebelum mengedarkan salinan pasport milik lelaki bertopi besbol terbabit, dikenali sebagai Andres Ramirez.

Susulan rompakan itu, Valero yang cuba melarikan diri dengan kereta sewa, berjaya dikesan di Argentina pada 2019.

Dia kemudiannya diekstradisi awal tahun ini sebelum membuat pengakuan melakukan perbuatan itu ketika disoal siasat polis.



Ketika penganjuran Piala Dunia, pihak berkuasa Russia mengenepikan syarat ketat visa mereka untuk membolehkan ribuan peminat luar negara menyaksikan acara itu.

Ia membolehkan Valero melakukan aktiviti itu bersama kumpulannya namun dia kini sudah ditahan di pusat tahanan atas dakwaan mencuri, melakukan konspirasi dan tergolong dalam kumpulan penjenayah.
FMT

[VIDEO] ‘Hujan Elektrik’ di Rusia



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker