Mangsa tren LRT bertembung terima bantuan RM1,000, sokongan bil hospital sehingga rawatan selesai

Sebaran :


KUALA LUMPUR: Sebanyak 213 penumpang yang terbabit dalam kejadian tren LRT bertembung di Stesen Kampung Baru dan KLCC semalam akan diberi bantuan khas sebanyak RM1,000 seorang, kata Pengerusi Prasarana Tajuddin Abdul Rahman.

Daripada jumlah itu, 64 penumpang yang dimasukkan ke hospital akan mendapat sokongan perubatan dalam bentuk kewangan, termasuk bayaran bil hospital sehingga selesai rawatan.

“Enam daripadanya dilaporkan kritikal dengan tiga penumpang dimasukkan ke ICU dan memerlukan bantuan pernafasan,” katanya pada sidang media selepas melawat lokasi kejadian pagi tadi.



Tajuddin berkata bantuan RM1,000 itu diberi tidak kira keseriusan keadaan mereka.

“Manakala bagi mereka yang hilang pendapatan susulan insiden ini, kita akan bantu untuk kelangsungan hidup mereka sehingga dapat bekerja semula.”

Tajuddin meminta mangsa supaya segera menghubungi Prasarana di talian 014-7371330 bagi mendapatkan bantuan kewangan yang disediakan atau mendapatkan barangan peribadi yang ditinggalkan dalam gerabak.


Dalam kejadian 8.45 malam itu, sekurang-kurangnya 47 penumpang dilaporkan cedera parah, manakala 166 mengalami kecederaan ringan dalam pertembungan dua tren LRT dalam terowong, masing-masing dari arah Gombak dan Kelana Jaya.

Ketua Polis Dang Wangi, Mohamad Zainal Abdullah, berkata tren dari Gombak (menghala ke Kelana Jaya) membawa 213 penumpang manakala tren dari arah Kelana Jaya (menghala ke Gombak) tidak membawa penumpang.

Kes disiasat mengikut Seksyen 201 Akta Pengangkutan Darat.

Sementara itu, Tajuddin berkata tren yang berlanggar akan dikeluarkan daripada terowong selewat-lewatnya dalam tempoh tiga hari.

“Laluan (LRT) kita tiada masalah, semua tren masih beroperasi macam biasa,” jelasnya.

Terdahulu, Prasarana mengumumkan perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya beroperasi seperti biasa bermula 6 pagi, dengan menggunakan satu landasan disokong perkhidmatan bas perantara percuma. FMT

LRT bertembung: Bagaimana ia boleh berlaku


Sebaran :

Leave a Reply