Dipulau: Dugaan penggali kubur urus jenazah Covid-19

Sebaran :


Ipoh: “Setiap kali ada kematian, saya berdepan suasana sayu dan memilukan. Selalunya saya berusaha menenangkan ahli keluarga yang hanya dibenarkan melihat urusan pengebumian dari jauh,” kata seorang penggali kubur yang menguruskan “rumah terakhir” pesakit Covid-19.

Shuib Aziz, 64, menyifatkan tugasnya adalah satu amanah dan tanggungjawab yang perlu dipikul memandangkan ahli keluarga tidak dapat menguruskan pengebumian jenazah orang kesayangan mereka disebabkan kekangan prosedur operasi standard (SOP) untuk kematian akibat Covid-19.

Shuib yang cacat sebelah mata mengakui berdepan pelbagai cabaran termasuk dipulaukan masyarakat sekeliling kerana dikhuatiri membawa virus itu, selain tekanan ahli keluarga yang mahu dia berhenti melakukan tugas berkenaan, juga kerana faktor sama.



“Awal-awal dulu saya amat takut apabila diminta menggali kubur untuk jenazah yang meninggal dunia akibat virus ini sehingga tidak boleh tidur malam, selain asyik teringat kesedihan ahli keluarga mangsa yang tidak dapat melibatkan diri dalam urusan pengebumian,” katanya ketika ditemui Bernama, baru-baru ini.

Ahli keluarga terdekat hanya dibenarkan mendekati pusara sebaik sahaja urusan pengebumian dan penyemburan pembasmi kuman selesai dilaksanakan petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) atau vendor yang dilantik.

Shuib yang masih bujang dan sudah lebih 20 tahun menjadi penggali kubur di Tanah Perkuburan Jalan Bendahara, di sini, berkata walaupun tidak memperoleh pendapatan lumayan, dia melakukan kerja itu dengan ikhlas bersandarkan niat untuk membantu orang ramai.


Anak kedua daripada lapan beradik itu yang menggali liang lahad untuk kira-kira 15 jenazah Covid-19 setakat ini, bersyukur kerana hingga kini masih terselamat daripada jangkitan virus terbabit.

Jenazah terbabit adalah pesakit Covid-19 dari Hospital Raja Permaisuri Bainun, dan pihak forensik akan menghubunginya setiap kali ada kematian.

Shuib berkata, antara pengalaman paling mencabar dihadapinya ialah menggali kubur semasa hujan lebat dengan angin kencang serta air hujan mulai bertakung dalam liang lahad sedangkan jenazah sudah sedia untuk dikebumikan.

“Saya selalunya mengambil masa kira-kira tiga jam untuk menyiapkan lubang kubur dan kadang-kadang turut dibantu beberapa orang untuk menggali kubur selain dipantau polis apabila melibatkan jenazah kematian akibat Covid-19,” katanya yang turut melakukan kerja rencam di tanah perkuburan itu. FMT

Dugaan 1 Syawal


Sebaran :

Leave a Reply