Kes tinggi, petugas barisan hadapan letih
Kes tinggi, petugas barisan hadapan letih. Majoriti petugas barisan hadapan berada dalam keletihan kerana berhadapan ribuan pesakit baharu setiap hari, selain perlu memastikan tahap keselamatan rakyat terjamin.
Justeru, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata rakyat Malaysia perlu bersama-sama menghulurkan doa dan berganding bahu membantu memerangi wabak COVID-19 dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
“Perkembangan terkini COVID-19 masih dalam keadaan tidak menentu malah semalam mencatatkan jumlah kes harian tertinggi sejak pandemik itu menular di negara ini.
“Trend kes positif harian yang masih tinggi berbanding kes sembuh memberikan cabaran kepada kesihatan pasukan barisan hadapan dalam merawat pesakit COVID-19.
“Kekalkan disiplin dan terus patuhi SOP serta amalkan kawalan kendiri seperti disarankan supaya kita dapat memutuskan rantaian COVID-19,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mengulas perkembangan lain, Ismail Sabri berkata, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), Bandar Penawar, Kota Tinggi, Johor akan ditamatkan esok mengikut jadual.
Ia susulan Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan trend kes COVID-19 menunjukkan penurunan dan kluster terkawal selain semua kes positif sudah dirawat.
“Sebelum ini, KKM melakukan 367 ujian saringan dan 192 individu disahkan positif COVID-19 di lokasi berkenaan.
“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju menamatkan PKPD di SSTMI pada 21 Mei seperti dijadualkan,” katanya.
Operasi penguatkuasaan PKP
Menyentuh operasi penguatkuasaan PKP, Ismail Sabri berkata, pihak berkuasa menahan 495 individu semalam, kerana ingkar prosedur operasi standard (SOP) dengan 468 dikompaun dan baki 27 direman.
Antara kesalahan dikesan ialah gagal merekod butiran diri dan daftar masuk premis membabitkan 143 orang, tidak memakai pelitup muka (126), tidak patuh arahan kawalan pergerakan (84), tiada penjarakan fizikal (47), aktiviti pusat hiburan (15) serta rentas negeri dan daerah tanpa kebenaran (lapan).
“Task Force Operasi Pematuhan diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) melakukan 81,823 pemeriksaan semalam, bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan SOP PKP.
“Sebanyak 4,002 pasukan pematuhan membabitkan 18,127 anggota membuat pemantauan terhadap 4,410 pasar raya, restoran (5,362); kilang (1,820); bank (3,968); pejabat kerajaan (1,057) dan penjaja (2,551).
“Turut dipantau pasar awam serta tani (2,213); tempat ibadah (3,217); tempat riadah (1,508); terminal pengangkutan darat (1,611); terminal pengangkutan air (338) dan terminal pengangkutan udara (100),” katanya.
Op Benteng
Mengenai Op Benteng semalam, Ismail Sabri berkata, 29 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditangkap dan lapan kenderaan darat dirampas.
Sebanyak 146 bot dan kapal turut dikesan di perairan negara melalui 11 aktiviti penglihatan. Op Benteng membabitkan PDRM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM) turut menjalankan 411 sekatan jalan raya semalam.
Ismail Sabri berkata, sebanyak 144 operasi sanitasi dilakukan merangkumi 55 zon merah, lima zon jingga dan 13 zon kuning di seluruh negara semalam. Operasi itu membabitkan 955 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), 190 pihak berkuasa tempatan (PBT) serta 179 jentera JBPM.
“Pada hari sama, seramai 576 individu tiba di semua pintu masuk antarabangsa dan semuanya sudah dikuarantin.
“Secara kumulatif sejak 24 Julai 2020, seramai 207,478 individu pulang ke tanah air dan ditempatkan di 70 hotel, 11 Institut Latihan Awam (ILA) serta institut pengajian swasta seluruh negara,” katanya.
Seramai 160 pekerja asing menjalani ujian saringan semalam dan sebanyak empat kes positif COVID-19 dilaporkan. Secara kumulatif seramai 694,855 pekerja itu sudah menjalani ujian saringan membabitkan 35,962 majikan.
“Daripada jumlah pekerja itu, seramai 10,284 disahkan positif COVID-19 manakala 684,571 lagi negatif,” katanya.
Ismail Sabri berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) membuat 700 pemantauan harian ke atas 11 jenis bekalan barangan membabitkan 524 peruncit, 144 pemborong serta 32 pengilang. BH
Kes tinggi, petugas barisan hadapan letih
- Resepi puding batik sedap sangat
- Neelofa sekali lagi kena ‘bantai’, Berpurdah tapi tak pakai pelitup muka
- Sahabat tapi bukan gabungan?
- [VIDEO] “Hawau Kau !!” MakCik Melaka Ini Sakan Bertekak Macam ‘Petir’, Pasal Perut Bertingkat.🤣
- Pulangkan balik duit Najib, saya bagi 24 jam – Shafee
Layari Laman Facebook MYKMU NET
Darurat dah 4 bulan, apa sudah jadi dengan 2 angka kes Covid-19, soal Najib