AirAsia X rugi RM5.6 bilion, jangka buang lebih ramai pekerja
Syarikat penerbangan tambang rendah jarak jauh AirAsia X Bhd (AAX), dijangka membuang lebih ramai pekerja selepas merekodkan kerugian bersih RM5.6 bilion bagi suku berakhir 31 Mac 2021.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, AAX berkata, pendapatannya susut 29.6 peratus suku ke suku kepada RM38.49 juta disebabkan kebanyakan pesawatnya masih tidak boleh beroperasi akibat COVID-19 sejak April tahun lalu selain jumlah penerbangan kargo dan sewaan khas yang terhad.
Kumpulan itu mencatatkan kerugian disebabkan oleh perbelanjaan operasi lain-lain berjumlah RM5.21 bilion pada tempoh dikaji berbanding RM45.06 juta pada suku sebelumnya.
“AAX kini sedang berunding dengan pemajak dan pemiutang kerana syarikat penerbangan mengalami impak ketara dengan penangguhan operasi penerbangannya.
“Kumpulan tidak dapat memulakan semula operasi yang dijadualkan sehingga ada terdapat pelonggaran sekatan perjalanan dan pembukaan semula sempadan antarabangsa secara beransur-ansur,” kata syarikat itu.
AAX berkata, bagi mengekalkan kecairan pada masa yang mencabar ini, kumpulan telah meminta penangguhan pembayaran dan konsesi dari pembekal, pemiutang dan pemajak serta mengurangkan perbelanjaan modal.
Pengurangan gaji, kata AAX, telah dilaksanakan di semua peringkat dan jumlah pekerja telah dikurangkan sebanyak 10 peratus dengan merancang pengurangan selanjutnya terutama dalam pekerjaan yang berkaitan dengan operasi penerbangan.-Awani
Lebih ramai akan dibuang jika larangan rentas negeri kekal, kata AirAsia