Peniaga lemang Kijal ‘terduduk’, rugi besar


KEMAMAN – Seramai 36 peniaga lemang Kijal di sini ‘terduduk’ apabila lebih 50 peratus tempahan awal telah dibatalkan pe­langgan di saat-saat akhir ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang bermula 12 Mei lalu iaitu sehari sebelum 1 Syawal.

Seorang peniaga, Zahari Zulkifli, 38, berkata, hampir 400 batang lemang yang ditempah untuk sambutan Hari Raya Aidilfitri telah dibatalkan pelanggan menyebabkan jualannya jatuh merudum pada musim perayaan kali ini.

“Saya terima panggilan bertalu-talu daripada pelanggan yang mahu membatalkan tempahan sebaik larangan merentas daerah dan negeri diumumkan kerajaan sepanjang tempoh PKP 3.0.

“Semua bahan seperti beras pulut, santan kelapa, daun pisang dan buluh sudah disediakan, tunggu (lemang) dibakar sahaja.



“Walaupun perit, tetapi saya tidak salahkan mereka (memba­talkan tempahan), kami semua mangsa keadaan,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Dataran Lemang Kijal di sini kelmarin.

Zahari yang berniaga bersama isterinya, Noor Yushanies Hamat, 37, hampir 20 tahun lalu menyifatkan perniagaan lemang Kijal pada tahun ini jauh lebih teruk berbanding tahun lalu ketika PKP 1.0 dilaksanakan.

Ujarnya, walaupun pelaksanaan PKP 1.0 jauh lebih ketat, tetapi jualan pada Hari Raya Aidilfitri pada waktu itu lebih baik kerana pergerakan rentas daerah dibenarkan.

Seorang lagi peniaga, Rohani Abdul Razak, 50, juga senasib dengan Zahari apabila hampir 300 batang lemang tempahan dibatalkan pelanggan di saat-saat akhir.



“Kami terpaksa bergantung kepada pelanggan harian yang terhad kepada penduduk daerah Kemaman sahaja. Dahulu, sampai 20 batang (lemang) sekali beli, sekarang paling banyak pun empat (batang) sahaja.

“Sebelum pandemik Co­vid-19, setiap hari menjelang Hari Raya Aidilfitri, saya boleh jual sekurang-kurangnya 1,000 batang tetapi tahun ini, 50 batang pun susah,” ujarnya. K Online

Jom Cuba Lemang Cawan Kukus Sangat Mudah, Tak Perlu Susah-Susah Nak Bakar!



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker