Satu lagi dewan dibangunkan, atasi masalah pesakit menunggu terlalu lama di MAEPS


Satu lagi dewan akan dibangunkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) bagi mempercepatkan penempatan pesakit dan menampung peningkatan jumlah pesakit yang tinggi terutama di Lembah Klang.

Menjawab artikel disiarkan FMT, Pengarahnya Dr Shahabuddin Ibrahim berkata, pusat bersepadu bagi pesakit Covid-19 bergejala ringan, yang menempatkan 5,869 katil sedang dalam proses meningkatkan kapasiti bagi merawat lebih ramai orang.

“Ini diharap dapat meningkatkan keselesaan pesakit yang dirawat di PKRC Bersepadu MAEPS 2.0. Pada masa ini, jumlah individu adalah 3,454 dengan 80% daripadanya adalah warganegara,” katanya dalam kenyataan.

FMT hari ini melaporkan keluhan pesakit Covid-19 di MAEPS yang terpaksa menunggu lebih enam jam bagi mendapatkan katil, bertarung dengan kesejukan, serta beratur panjang untuk menerima rawatan dan makanan.



Mengenai kelewatan penempatan pesakit, Shahabuddin berkata ia berpunca daripada jumlah kemasukan pesakit dengan purata kira-kira 600 orang sehari, manakala pesakit harian pernah mencecah 1,800 orang.

Malah, katanya pesakit dimasukkan ke PKRC Bersepadu MAEPS 2.0 perlu melalui penilaian kesihatan bagi memastikan kualiti perkhidmatan kesihatan diberikan berpandukan kategori rawatan mengikut simptom terutama pesakit kategori 3.

“Di samping bertanyakan sejarah kesihatan, pesakit perlu menjalani pemeriksaan fizikal serta kesihatan lain seperti ultrasound, x-ray paru-paru dan ujian-ujian darah. Ia mengambil masa apabila membabitkan jumlah pesakit ramai.

“Sewaktu bulan Ramadan pula, proses ini terpaksa dihentikan sementara pada waktu berbuka bagi memberikan keselesaan kepada pesakit dan petugas untuk berbuka puasa dan menyempurnakan solat,” katanya.



Berhubung suhu dewan yang dikatakan terlalu sejuk, beliau berkata, perkara itu akan diatasi dengan menetapkan suhu piawaian 22-24 darjah celcius termasuk pemantauan berterusan.

Menjawab isu kebersihan tandas dibangkitkan pesakit, Shahabuddin berkata pihaknya sudah melakukan kerja pembersihan empat kali sehari namun keadaan tandas kotor berlaku disebabkan sikap segelintir pesakit itu sendiri.

“Pihak PKRC Bersepadu MAEPS 2.0 juga telah mengadakan tinjauan dalam kalangan pesakit dan mendapati 75% responden berpuas hati terhadap tahap kebersihan tandas pesakit yang disediakan dan 91% pesakit berpuas hati dengan tahap kebersihan dewan,” katanya.

Berhubung kelewatan pengagihan makanan, beliau berkata perkara itu diatasi dengan menyediakan ‘food truck’ secara percuma sehingga jam 10 malam bagi menampung jumlah kemasukan pesakit baharu.



“Selepas jam 10 malam, makanan bagi kemasukan pesakit baharu ditampung dengan penyediaan ‘dry ration’ terdiri daripada roti, kaya, biskut, air mineral dan air kotak bagi setiap pesakit,” katanya.

Beliau turut mengakui, proses pengagihan makanan kepada pesakit yang ramai amat mencabar, namun keutamaan tetap diberikan kepada pesakit warga emas dan kanak-kanak serta pesakit yang mempunyai diet tertentu.

“Walaupun proses pembahagian sebegini menyebabkan pesakit lain terpaksa menunggu, pihak PKRC MAEPS sentiasa memastikan pengagihan makanan kepada semua pesakit diselesaikan dalam tempoh dua jam.

“Kawalan juga dibuat supaya pesakit mengambil makanan mengikut agihan masing-masing bagi mengelakkan makanan yang disediakan tidak mencukupi,” katanya. FMT



6 jam untuk dapat katil, suhu terlampau sejuk, makanan tak cukup, tandas ‘jijik’, antara keluhan penghuni MAEPS

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker