100 cawangan jadi sasaran Richiamo Coffee


Richiamo Coffee Sdn Bhd, pemegang lesen rangkaian kedai kopi premium Richiamo Coffee berhasrat membuka sehingga 100 cawangan baharu sehingga hujung tahun ini.

Pengarah Urusannya, Muhamad Zamry Abu Samah berkata, perluasan perniagaan itu bakal mengukuhkan lagi kedudukan jenama Richiamo Coffee.

Richiamo Coffee kini sudah memiliki 42 cawangan di seluruh negara kecuali Terengganu dan Sabah.

Katanya, perkembangan pesat jenama Richiamo Coffee di Malaysia selepas cawangan pertama dibuka di Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Kedah pada 2016 dilihat sebagai peluang terbaik kepada usahawan baharu yang ingin menyertai segmen makanan dan minuman (F&B).

“Modal yang diperlukan untuk membuka Richiamo Coffee adalah RM180,000 hingga RM250,000, yang mana kami akan menyediakan semua kelengkapan, ubahsuai premis, stok, peralatan dan latihan pekerja.

“Usahawan yang berminat hanya perlu menyediakan modal dan pekerja. Lain-lain aspek kami akan bantu termasuk memuktamadkan pemilihan lokasi bagi memastikan Richiamo Coffee kekal berdaya saing dan maju,” katanya.

Muhamad Zamry berkata, industri F&B dilihat amat berdaya saing meskipun ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama dilaksanakan pada Mac tahun lalu apabila 10 cawangan baharu Richiamo Coffee dibuka dalam tempoh terbabit.

“Ini peluang terbaik untuk menjadi sebahagian daripada ahli keluarga yang semakin besar kami. Saya melihat industri ini kalis kepada Covid-19 dan kelembapan ekonomi. Dalam apa jua keadaan, makanan dan minuman tetap menjadi keperluan,” katanya.

Beliau menjelaskan, kejayaan yang dikecapi Richiamo Coffee adalah disebabkan penekanan kualiti dan rasa barisan lebih 100 minuman dan lebih 50 jenis makanan termasuk, set nasi, makanan Barat serta pastri yang setanding jenama terkemuka antarabangsa.

Malah, katanya, harga jualan sekitar 45 peratus lebih rendah berbanding jenama terkemuka antarabangsa juga menjadikan Richiamo Coffee sebagai pilihan kepada rakyat Malaysia.

“Kami menggunakan kopi Arabica yang diimport dari Columbia, Brazil, Guatemala dan Indonesia dan diadun di Malaysia,” katanya.

Mengulas mengenai perancangan mengembangkan jenama ke luar negara, Muhamad Zamry berkata, Richiamo Coffee sedang mengadakan perbincangan serius untuk meneroka pasaran Bangladesh, Myanmar, Uzbekistan, Singapura dan Arab Saudi (Madinah).

“Kami telah mengadakan perbincangan serius dengan pihak ketiga tetapi disebabkan sekatan perjalanan yang dicetuskan Covid-19, ia terpaksa tangguhkan buat sementara waktu,” ujarnya.

Bagi pasaran domestik, beliau berkata, Richiamo Coffee menjalinkan kerjasama dengan Koperasi Anak Selangor bagi pembentukan pemegang lesen utama segmen koperasi bagi meluaskan rangkaian jenama itu di seluruh negara.

Cawangan pertama adalah di Kelana Jaya yang akan dibuka tidak lama lagi.

Selain itu, Richiamo Coffee juga bekerjasama dengan Unit Perkhidmatan Orang Kelainan Upaya (OKU) Universiti Teknologi MARA (UiTM) bagi memberi peluang kepada OKU menjadi pekerja di dua cawangan Richiamo Coffee di UiTM Puncak Alam. MG

Pelatih IKBN pemilik rangkaian kopi premium Richiamo Coffee

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker