Persiapan Aidilfitri 4 keluarga musnah, rumah terbakar


Ketika orang ramai sibuk menanti Aidilftri yang tiba esok, empat keluarga di Kampung Lintang, Balingian di Mukah, Sarawak hiba apabila rumah mereka musnah dalam kebakaran.

Mangsa, Hairi Midin, 70, berkata ketika kejadian beliau keluar ke pasar bagi mendapatkan bekalan daging untuk persiapan Aidilfitri, manakala isteri dan kakak iparnya di rumah hanya sempat menyelamatkan beg tangan kerana api marak.

“Semua persiapan hari raya termasuk pakaian musnah, kami tidak dapat menyelamatkan apa-apa kerana api merebak terlalu cepat dan kerugian dianggarkan sekitar RM200,000,” kata beliau menurut laporan Utusan Borneo.

Hairi bercadang untuk tinggal di rumah anaknya di Mukah sementara isteri tinggal di rumah saudara di kampung berkenaan.



Sementara itu, jurucakap bomba Sarawak berkata, lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Mukah dikerah ke lokasi selepas menerima panggilan dari Balai Polis Balingian sekitar 9.15 pagi.

“Kampung Lintang terletak kira-kira 60 kilometer dari Balai Bomba Mukah dan kami turut mengarahkan anggota bomba sukarelawan Balingian segera ke lokasi kejadian untuk tindakan awal,” katanya dalam kenyataan.

Menurut bomba, kebakaran itu melibatkan empat buah rumah, di mana tiga rumah musnah sepenuhnya, manakala sebuah lagi terjejas 10%.

Bomba berjaya mengawal api daripada merebak pada kira-kira 10.20 pagi. Tiada sebarang kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dan punca kebakaran masih dalam siasatan.



Dalam pada itu, ADUN Mukah, Abdul Yakub Arbi turut berkongsi gambar kejadian di Facebook.

“Pada peringkat awal dan kemuncak kebakaran, Bomba Sukarela Balingian telah bertindak pantas serta dibantu penduduk kampung untuk menyelamatkan keadaan dan mengawal kebakaran dengan jentera yang ada. Tindakan pantas mereka meredakan api yang marak,” katanya. FMT

Kereta dihanyut arus, dua beranak berpaut pada Toyota Vios berjaya diselamatkan



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker