‘Nak beli sehelai baju raya pun tak mampu’, Aidilfitri suram buat keluarga pengutip sampah


Sejak lima tahun lalu hidup peniaga ayam, Suzana Mansor, 38, dipenuhi pelbagai liku termasuk pernah dia sekeluarga menghuni reban ayam tanpa bekalan air atau elektrik pada 2016.

Berbekalkan wang zakat, sebuah rumah batu kecil berjaya dibina, namun mengalami pelbagai kerosakan tidak lama kemudian disebabkan penggunaan bahan binaan yang kurang berkualiti.

Namun tidak pernah sesekalipun terdetik dihatinya untuk merungut.

Kesusahan dialaminya sekeluarga diketahui umum ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) tahun lalu apabila satu kumpulan yang kebetulan menghantar bantuan bekalan makanan percuma kepada mereka yang terkesan akibat sekatan pergerakan, menemui keluarga berkenaan yang hidup tanpa bekalan elektrik sejak lebih setahun.

Malah makanan seharian mereka sememangnya ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, bergantung kepada apa dapat dibawa pulang suami Suzana, Rosman Darus, 48, yang ketika itu bekerja sebagai pengutip sampah.

Hari ini, keluarga itu mempunyai kediaman tempat berteduh dibina oleh Tenaga Nasional Berhad pada awal tahun, dengan bekalan elektrik dan Astro percuma.

Ahli Exco Pulau Pinang Norlela Ariffin kemudian membina reban ayam untuk menyokong perniagaan Suzana.

Rosman kemudian mendapat kerja sebagai pemandu lori sampah dengan gaji RM1,200 sebulan – penambahan sebanyak RM400 berbanding pendapatannya sebelum itu.

Namun malang menimpa, Rosman terlibat dalam satu kemalangan selepas motosikal dinaiki dilanggar lori ketika dalam perjalanan pulang selepas kerja.

Akibatnya, kakinya patah di tiga tempat selain tempurung lutut dan tulang selangka pecah. Rosman mengalami kesukaran bergerak selepas pembedahannya, dan hari ini tidak mampu menaiki teksi atau menempah Grab untuk pergi ke Hospital Pulau Pinang bagi mendapatkan rawatan fisioterapi. Malah untuk mendapat rawatan perubatan juga dia terpaksa bergantung kepada ihsan orang ramai.

Seorang guru besar sebuah tadika berhampiran bermurah hati mendermakan motosikalnya untuk kegunaan keluarga itu, namun disebabkan kecederaan begitu teruk dialami, Rosman masih belum menggunakan kenderaan berkenaan berseorangan, apatah lagi untuk perjalanan sejauh 25km ke hospital di George Town itu.

Rosman, Suzana dan anak mereka Nor Farisya sedang berehat di luar rumah mereka yang terletak di sebuah ladang kelapa sawit.
Untuk meredakan kesakitan pada buku lali kanan ketika berjalan, Rosman menggunakan raket badminton lama sebagai tongkat ketika berjalan. Pertubuhan Kebajikan Sosial (Perkeso) juga menawarkan untuk menghantarnya ke hospital pemulihan di Melaka selama tiga bulan, namun terpaksa ditolak kerana tidak dapat meninggalkan keluarganya.

Rosman juga tidak mampu membayar RM50 untuk laporan perubatan penuh dari hospital bagi membolehkannya menuntut RM36 sehari bagi tempoh cuti sakit selama 108 hari.

Dia turut mengakui masih bimbangkan status bil air berjumlah lebih RM700 kerana dikenakan caj mengikut tarif komersial.

‘Nak beli Maggi untuk berbuka puasa pun tak mampu’

Suzana terpaksa mengabaikan perniagaan ayamnya untuk fokus kepada pemulihan suami serta menjaga dua anak mereka.

Dia kini bergantung sepenuhnya pada bantuan tunai RM350 Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk anak-anaknya. Katanya, dia dimaklumkan tidak layak menerima lebih banyak bantuan. FMT telah cuba menghubungi pihak berkuasa berhubung isu itu.

“Sebelum ini kami membeli baju raya dua minggu sebelum Aidilfitri untuk anak-anak. Hari ini, mereka bertanya kenapa rakan mereka mempunyai baju baharu tetapi mereka tidak.

“Nak beli maggi untuk berbuka puasa pun tak mampu,” kata Rosman ketika ditemui FMT semalam di kediamannya di sebuah ladang kelapa sawit di Kuala Sungai Pinang, Balik Pulau.

Suzana berkata dia ada meminta JKM menambah bantuan namun dimaklumkan tidak layak menerima bantuan tambahan, sebaliknya boleh memohon status OKU bagi suaminya untuk dapat bantuan lanjut.

Dia kini bergantung kepada zakat bantuan makanan yang membolehkannya mengambil barangan terhad seperti susu formula, lampin, sabun, minyak masak, telur serta nasi di satu lokasi ditetapkan.

“Saya takut meminta bantuan lagi. Ada pegawai kebajikan menyoal kenapa saya mengadu kepada media sedangkan telah mendapat bantuan yang selayaknya diterima. Jadi saya memutuskan mendiamkan diri.

“Ada juga pegawai yang memberitahu, mereka perlu memberi bantuan makanan untuk orang lain juga dan kami perlu menunggu. Jadi kami menunggu sajalah.

“Sejak sebulan lalu kami hanya makan nasi dan telur, sehingga orang menegur bau saya pun seperti telur.

“Ada juga orang yang berbaik hati memberi bantuan makanan segar, namun kami tidak dapat menyimpannya lama kerana tiada peti sejuk,” katanya.

Anak sulung pasangan itu, Nor Farisya, 8, dilihat mendengar lagu raya Upin dan Ipin menggunakan satu-satunya telefon bimbit dimiliki keluarga itu.

Ditanya perancangannya untuk sambutan Aidilfitri, Farisya berkata mahu pergi rumah ke rumah bersama rakannya untuk mengumpul duit raya.

Adiknya, Fazira Maizatul, 5, seolah-olah dalam dunianya sendiri dan bermain dengan permainan dibawa pulang oleh bapanya dari tempat pelupusan sampah sebelum ini.

Namun bagi Rosman dan Suzana, satu bekas kecil biskut coklat dihadiahkan seseorang yang murah hati, adalah satu-satunya kuih raya keluarga itu.

“Kami bertahanlah sejauh mana yang mampu. Tidak tahulah sampai bila terdaya.” FMT

Bapa tunggal tak mampu hantar empat anak ke sekolah

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker