Syukurlah jika anda masih punya seorang ibu, kerana di situ letaknya syurgamu

Syukurlah jika anda masih punya seorang ibu, kerana di situ letaknya syurgamu

Alhamdulillah, hari Ahad baru ini adalah hari ibu. Hari bagi meraikan seorang ibu. Syukurlah bagi sesiapa yang masih mempunyai ibu. Itu bermakna anda masih mempunyai peluang untuk berbakti kepadanya. Masih mempunyai masa untuk menyayanginya. Dan masih mempunyai harapan untuk mendapatkan doa darinya.

Ingat! doa yang tidak sesekali Allah tolak adalah doa seorang ibu kepada anaknya.

Islam sangat menitik beratkan umatnya untuk berbuat baik dan berlaku ehsan kepada ibu yang begitu bersusah payah melahirkan setiap anak di dunia. Sakitnya melahirkan seperti hilang separuh nyawa.

Menurut fakta, setiap kali bersalin dalam keadaan normal, purata darah yang hilang adalah sebanyak 500ml. Manakala sakitnya pula, bagi badan manusia, kita hanya mampu menanggung kesakitan sehingga 45 Del. Akan tetapi ketika bersalin, seorang ibu akan mengalami sehingga 57 Del yang bersamaan dengan 20 tulang yang dipatahkan serentak.


Subhanallah! Punyalah besar pengorbanan seorang ibu melahirkan kita di dunia.

Dek kerana itulah maka Allah S.W.T. telah anugerahkan ganjaran yang tersangat besar kepada seorang ibu yang sanggup mengandung dan melahirkan.

Syahid ganjaran untuk seorang ibu yang meninggal kerana hamil atau melahirkan
Menurut Rasulullah seorang ibu yang sedang hamil jika ia meninggal maka kematiannya dianggap syahid. Dari Jabir b. Atik r.a. Rasulullah s.a.w. bersabda,

“Mati syahid ada tujuh selain dari yang terbunuh di jalan Allah (jihad). Orang yang mati kerana wabak adalah syahid. Yang mati kerana penyakit perut adalah syahid, yang mati kerana lemas adalah syahid, yang mati kerana tertimpa runtuhan adalah syahid, orang yang mati kerana penyakit radang selaput dada adalah syahid. Orang yang mati terbakar adalah syahid dan yang mati sedangkan di dalam perutnya ada janin juga syahid” HR Abu Dawud

Seorang ibu sanggup melakukan apa sahaja kepada anak yang dilahirkannya. Dia lebih rela menderita dari membiarkan anaknya terseksa. Malah ada juga sesetengah ibu yang sanggup menafikan kesalahan dan keburukan anaknya semata-mata untuk menyelamatkan mereka.

Itulah bukti betapa sayangnya seorang ibu terhadap anaknya. Tidak pernah menerima apa jua keburukan anaknya. Pada pandangan mata hatinya, anak adalah seperti malaikat tidak bersayap yang menjadi permata hati.


Ibu! Ibu! Ibu! itu yang utama

Dan kerana itulah juga Baginda s.a.w. mengingatkan sahabat untuk lebih mengutamakan ibu. Dari Abu Hurairah r.a.

“Seorang lelaki telah datang menemui Baginda s.a.w. dan berkata, “wahai Rasulullah! siapakah yang lebih berhak mendapatkan perlakuan baikku? Beliau berkata, “ibumu” Kemudian dia bertanya, “siapa lagi?” Baginda berkata, “ibumu” Ia bertanya lagi, “siapa lagi?” Baginda berkata “ibumu” dan dia bertanya, “siapa lagi” Baginda menjawab, “kemudian bapamu” HR Bukhari.

Hadis ini jelas bahawa ibu menjadi keutamaan berbanding bapa. Malah tiga kali Baginda s.a.w. mengulanginya sebagai membuktikan darjat seorang ibu di sisi anaknya lebih tinggi dari bapa.

Dalam sebuah hadis yang lain pula Baginda s.a.w. turut menyatakan antara amalan yang paling dicintai Allah S.W.T. adalah berbakti kepada orang tua sebagaimana yang dilakukan oleh Uwais al-Qarni seorang pemuda miskin yang sangat terkenal dikalangan penduduk langit kerana cinta dan baktinya kepada ibunya yang sudah tua. Malah doa Uwais adalah makbul tidak ditolak Allah S.W.T.

Dari Abdullah bin Mas’ud r.a.

“Aku bertanya kepada Rasulullah s.a.w. amal apakah yang paling dicintai Allah?” Baginda menjawab, “solat pada waktunya, berbakti kepada kedua orang tua” Aku bertanya, “kemudian apa lagi?” Jawab Baginda, “jihad di jalan Allah” HR Bukhari.

Sebagai seorang anak, Allah S.W.T. mengingatkan dalam mafhumnya agar tidak sesekali menderhaka kepada ibu atau bapa kerana di situlah letak syurga si anak. Jangankan bertindak kasar, malah meninggi suara atau menyebut “ah” pun mengundang murka Allah. Firman Nya,

“Dan Tuhanmu telah perintahkan supaya, engkau tidak menyembah melainkan kepada Nya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada kedua ibu bapa.

Pengorbanan seorang ibu tidak terbalas dengan apa jua nilai yang ada di dunia
Jika salah seorang daripada kedua-duanya atau kedua-duanya sekali sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaan kamu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “ah” dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun)” al-Isra: 23

Oleh itu perbanyakkanlah doa kepada ibu bapa dan sedekahkanlah al-Fatihah kepada mereka sekalipun mereka masih ada di depan mata. Insya Allah dengan amal perbuatan yang baik kepada ibu dan bapa pastinya mengundang keberkatan dan keredaan Allah.

Apalah ertinya hidup jika mengabaikan hati dan perasaan seorang ibu. Wallahu a’lam

Syukurlah jika anda masih punya seorang ibu, kerana di situ letaknya syurgamu


Baca Artikel Menarik

Layari Laman Facebook My KMU NeT


 

Al-Fatihah: Pelakon Noryati Taib atau dikenali Makcik Petir Meninggal Dunia

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker