Solat sunat Aidilfitri dibenar tak lebih 50 orang

Solat sunat Aidilfitri dibenar tak lebih 50 orang

Menjelang kedatangan Aidilfitri yang dijangka disambut tiga hari sahaja lagi, kerajaan mengumumkan seluruh masjid dan surau hanya dibenarkan menerima kehadiran tidak lebih 50 atau 20 orang sahaja untuk solat sunat hari raya nanti.

Arahan itu dibuat ekoran pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) kali ketiga di seluruh negara yang diumumkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin tadi.

Bilangan jemaah seramai 50 atau 20 orang itu ditentukan mengikut kapasiti maksimum bagi setiap masjid dan surau.

“Solat sunat Aidilfitri di masjid dan surau dibenarkan dengan kehadiran jemaah tidak melebihi 50 orang bagi masjid dan surau yang boleh memuatkan lebih 1,000 jemaah dan 20 orang bagi masjid dan surau yang boleh memuatkan kurang daripada 1,000 jemaah.

Had bilangan jemaah yang sama terpakai bagi solat fardu lima waktu dan solat Jumaat,” kata Muhyiddin dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, mengikut SOP Aidilfitri oleh MKN solat sunat Aidilfitri adalah dibenarkan mengikut ketetapan pihak berkuasa negeri masing-masing bagi kawasan PKP, PKPB dan PKPP.

Manakala solat sunat hari raya di kawasan PKPD adalah tidak dibenarkan.

Pada tahun lepas, hari lebaran turut menyaksikan umat Islam digalakkan menunaikan ibadat solat sunat hari raya di rumah masing-masing bersama keluarga gara-gara Covid-19.

Malah ada jabatan agama negeri yang mengeluarkan panduan bagi memudahkan pelaksanaan ibadat sunat di pagi raya itu dalam kalangan masyarakat.

Umat Islam dijangka akan menyambut hari raya Aidilfitri pada 13 Mei 2021 (Khamis).

Pun begitu ia perlulah melalui pengisytiharaan rasmi oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja. Mk


Baca Artikel Menarik

Layari Laman Facebook My KMU NeT


 

SOP sambutan Aidilfitri tahun ini

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker