Israel punca segala masalah


Oleh Dr Mohd Mizan Aslam (PhD).

SEKALI lagi dunia menyaksikan serangan tidak berperikemanusian oleh askar Israel ke atas Masjidil Aqsa di bulan Ramadan yang mulia. Perbuatan biadab ini adalah merupakan tindakan yang melampau dan terancang.

Siri kekejaman Israel memang tidak dapat dilindungi lagi, Israel hidup dengan nyawa dan darah rakyat Palestin. Paten yang dapat dilihat hingga kini, setiap kali serangan dilakukan atau konflik diwujudkan, maka akan adalah tanah-tanah milik Palestin yang akan ditakluki.

Konflik yang dengan sengaja dicetuskan untuk meluaskan kuasa rejim Zionis yahudi.

Memasuki masjid dengan berkasut, menembak mereka yang sedang solat, memijak al-Quran, menangkap dan memukul masyarakat Palestin yang sedang solat di Masjidil Aqsa adalah tindakan kurang ajar. Serangan selama lima hari berturut-turut mulai 24 Ramadan, telah mengakibatkan sekurang-kurangnya dua kematian dan ratusan lainnya mengalami kecederaan. Semuanya berpunca daripada kerakusan rejim Israel menjarah tanah berdaulat milik Palestin.

Manakala hanya satu kecederaan direkodkan di pihak Israel yang dipuncakan oleh serangan tanpa senjata. Inilah bukti ketidakadilan dan kebobrokkan rejim pengganas Israel. Rejim yang tidak diiktiraf dunia kecuali sekutu-sekutu mereka yang diketuai oleh Amerika Syarikat.

Satu-satunya imperialis yang masih wujud

Penjajahan secara fizikal sudah tamat. Akan tetapi penjajahan yang masih berlaku adalah ke atas ekonomi, politik dan sosial. Landskap geo-politik dunia berubah secara drastik dengan berlakunya penjajahan mulai kurun ke-16 hingga pertengahan kurun ke-20. Lebih 90 peratus negara-negara di dunia mengecapi erti merdeka dan mulai berkerajaan sendiri. Akan tetapi, dalam masa tersebut muncul pula penjajah baru yang bernama Israel. Penjajahan Israel berterusan hingga ke hari ini dan menjadi satu-satunya penjajah yang masih wujud dan aktif di dunia ini. Malah, China sebagai contoh, secara tidak langsung menerima pentadbiran sendiri Taiwan dan Macau walaupun tidak mengiktirafnya secara diplomatik. Israel menjadi satu-satunya kuasa penjajah yang mencerobohi dan menakluki negara lain secara terang-terangan, penjajahan yang dibiarkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Barat dan juga negara-negara Islam lainnya.

Palestin tidak pernah mendapat pengiktirafan Israel mahupun Barat. Malah dalam banyak aksi, Barat juga menyokong Israel terutama dalam isu perpindahan ibu negara Israel dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis. Malah daripada hari ke hari penjajahan terus berlaku dengan cara merampas tanah penduduk Palestin. Palestin tidak dianggap sebagai sebuah negara, tetapi adalah satu wilayah yang wujud dalam negara Israel. Malah, tentera Israel bebas masuk dan mengganggu apa sahaja aktiviti penduduk Palestin. Dron, helikopter, pesawat pejuang mahupun kereta kebal dan kenderaan perisai Israel acap kali masuk ke wilayah-wilayah Palestin seperti kepunyaan mereka. Penduduk Palestin hanya mampu melihat dan menunggu saat untuk diserang dan bersemadi di bumi tanah tumpah darah mereka.

Sejarah tidak terpakai

Dunia melalui Mahkamah Timbangtara Antarabangsa (ICJ) tidak lagi mengiktiraf dokumen duluan terutama yang berkaitan tuntutan ke atas tanah dan negara serta kedaulatan. Walaupun sejarah menunjukkan sebaliknya. Maka atas dasar itulah Pulau Batu Putih menjadi milik Singapura, Pulau Sipadan Ligitan menjadi milik Malaysia dan banyak lagi senario berkaitan. Selepas era penjajahan, Sulu tidak lagi mempunyai hak ke atas kesultanan yang pernah wujud dahulu. Pattani kehilangan kesultanan mereka, Kesultanan Johor-Riau tidak lagi wujud, Pakistan dan India terbahagi dua, negara-negara kecil wujud selepas Khalifah Uthmaniyyah dijatuhkan.

Semua pihak akur dan menerima keadaan tersebut kerana ia tertulis dalam sejarah moden. Kita tidak boleh balik semula ke aman lampau dan mengubah sejarah. Kita tidak mampu meminta kembali wilayah Satun menjadi sebahagian Kedah atau Daerah Hutan Melintang menjadi milik Seangor. Semuanya diubah oleh kuasa penjajah dan dokumen yang dibuat mereka. Bukti-bukti sebelumnya seringkali ditolak oleh mahkamah antarabangsa kerana yang terpakai adalah perundangan, statut, deklarasi dan perjanjian yang terkini. Akan tetapi lain pula kisahnya di Palestin, segala perjanjian, segala rundingan dan keputusan zaman moden dipersetankan. Israel tidak pernah surut menjarah tanah-tanah Palestin hingga hampir tiada lagi yang tinggal.

Di Barat, keadaan yang sama boleh dilihat di Turki moden. Pemilikan ‘Constantinapole’ oleh Sultan Mehmet Al-Fatih serta penguasaan ke atas gereja terbesar dunia, Hagia Sophia juga tidak mampu diubah semula. Walaupun asalnya adalah milik Kristian, tetapi sejarah menunjukkan ia dikuasai pula oleh Muslim dan seterusnya dimiliki oleh Sultan Al-Fatih dan hari ini menjadi aset wakaf milik negara Turki. Walau apapun tuntutan oleh pihak Kristian, akan tetapi mustahil ‘Constantinapole’ dan Hagia Sophia diserahkan semula kepada pihak Kristian (Rome).

Dunia mengakuinya, malah Turki juga mengakuinya tetapi pemilikan akhir adalah kerajaan Turki. Jadi jika Israel mahu menuntut Jurusalem atas dasar sejarah, ia tidak sepatutnya berlaku kerana sejarah moden telah diterima dan ia menjadi milik Palestin selain Masjidil Aqsa, lokasi ketiga tanah suci umat Islam juga letaknya di situ.

Diplomasi kosmetik

Ibarat kaduk naik junjung dan kerbau dicucuk hidung. Dunia mengikut sahaja apa yang berlaku dan dilakukan oleh Israel. Semua kejahatan Israel ini hanya mampu dicapai dengan sokongan Barat.

Tanpa Barat terutama Amerika dan Britain, cita-cita Israel hanya tinggal kenangan. Lihat bagaimana Barat memberi sokongan kepada perjuangan Timur-Timor hingga wujudnya Timor Leste, bagaimana Barat menyokong negara-negara kecil ‘tan’ hingga akhirnya menjatuhkan Kesatuan Rusia (USSR).
Keadaan yang sama juga boleh wujud jika Barat menyokong kesultanan Sulu, Kesultanan Pattani, Negara Kaukasian dan lain-lain. Akan tetapi Barat tidak bertindak menyokong kewujudan negara-negara tersebut termasuklah Palestin kerana tiada kepentingan kepada mereka.

Kepentingan perdagangan dan kuasa politik menafikan hak saudara seagama kita di Palestin. Negara-negara Islam hanya mampu melihat dan berdiam diri. Paling-paling pun yang mampu dibuat adalah kenyataan mengutuk serangan-serangan yang dilakukan oleh Israel ke atas penduduk Palestin. Akan tetapi tiada satu tindakan bersifat konkrit yang boleh diambil. Acap- kali saya mengutarakan bahawasanya sekarang ini negara Islam perlu kepada action oriented bukan lagi rhetoric semata-mata. Tindakan tidak berani diambil kerana takut dingin hubungan dengan Amerika sebagai proksi Israel.

Nampak cantik di luar tapi busuk di dalam. Hubungan kebanyakan negara Islam dengan Israel adalah bersifat ‘kosmetik’ semata-mata, bukannya ‘organik’. Hanya kelihatan cantik di depan dan nampak baik, akan tetapi dalam masa sama membiarkan penduduk Palestin ditindas nasib mereka. Memberi bantuan seperti ubat-ubatan dan pembinaan sekolah dan lain-lain tidak menyelesaikan masalah Palestin. Mereka lebih memerlukan pengiktirafan dunia ke atas negara berdaulat mereka. Palestin perlu mempunyai askar mereka sendiri. Palestin adalah satu-satunya negara di dunia yang tiada tentera untuk menjaga kedaulatan negara mereka. Kewujudan Polis Palestin hanya sekadar di pinggiran, cukup untuk memberikan peluang pekerjaan, tetapi tidak mempunyai autoriti.

Sebagai penutup bicara marilah kita renungkan, sebenarnya sudah cukup ramai yang bercakap, menulis, berforum, berseminar dan berbicara tentang konflik Israel-Palestin ini, akan tetapi apa yang saya mahu bawa pembaca memahami di sini adalah empat perkara utama. Pertama, Israel adalah satu-satunya negara penjajah secara fizikal yang masih wujud di dunia ini. Kedua, Palestin adalah satu satunya negara berdaulat yang tidak diiktiraf oleh Israel, Amerika dan sekutunya. Ketiga, negara-negara Islam perlu melakukan reaksi berbentuk ‘tindakan’ ke atas setiap kejahatan yang dilakukan oleh Israel ke atas Palestin bukannya retorik semata-mata. Keempat, tuntutan Israel ke atas Jurusalem berdasarkan bukti sejarah tidak boleh diterima sebagaimana kes-kes duluan yang diputuskan oleh ICJ, The Hague, Belanda.

Penulis Pensyarah Kajian Strategik dan Keselamatan, Naif Arab University for Security Sciences, Arab Saudi

Israel: Satu-satunya penjajah yang masih wujud, pengganas yang dibiarkan

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker