PKP: Kenapa ‘serang’ Ismail Sabri, apa masalahnya?

Tiada rumah terbuka Aidilfitri tahun ini - Ismail Sabri
Oleh Zulkiflee Bakar

MALAM tadi nama Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob trending seketika di Twitter manakala dalam Facebook Menteri Kanan Keselamatan itu terdapat ribuan komen sebaik sahaja beliau mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di beberapa negeri dan daerah.

Kesemuanya menjuruskan kepada melempiaskan amarah kepada Ismail Sabri seolah-olah Menteri Kanan (Keselamatan) itu yang membuat keputusan supaya PKP dilaksanakan. Pokok pangkal kemarahan netizen ialah mereka tidak boleh rentas negeri dan rentas daerah untuk menyambut Aidilfitri.

Isunya kenapa perlu ‘serang’ Ismail Sabri sehingga ada yang menggunakan bahasa kesat dan biadab terhadap Ahli Parlimen Bera itu? Apa salah beliau? Apa dosa beliau? Ismail Sabri hanya mengumumkan keputusan yang dibuat dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang disertai oleh pelbagai kementerian termasuklah juga ATM, PDRM dan Kementerian Kesihatan.

Sebab itulah malam tadi, Ismail Sabri yang mengetahui kemarahan orang ramai terhadap keputusan kerajaan menegaskan,’’saya tahu rakyat marah…tujuan kita adalah untuk menyelamatkan nyawa rakyat…’’

Walaupun sudah 15 bulan Covid-19 melanda negara ini dan pelbagai langkah dilakukan oleh kerajaan bagi memberi pemahaman kepada rakyat berhubung ancaman pandemik tersebut tetapi malangnya sebahagian rakyat kita masih belum faham dan ada antaranya sengaja buat-buat tak faham tindakan kerajaan.

Atas sebab tidak faham dan buat tak faham inilah Ismail Sabri menjadi ‘mangsa serangan’ seolah-olah beliau yang membuat keputusan sedangkan seperti mana kata beliau keputusan dibuat oleh kerajaan berdasarkan sistem amaran awal iaitu ‘Hotspots Identification For Dynamin Engament (HIDE) yang dibangunkan Bank Negara Malaysia (BN) bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berpandukan MySejahtera.

Apa yang kerajaan lakukan ialah untuk menyelamatkan nyawa rakyat dan bukan suka-suka nak buat PKP atau nak halang rakyat balik raya seperti dakwaan sesetengah individu.

Begitu juga soal angka masih ada lagi yang berfikiran entah apa-apa apabila mempersoalkan angka kes baru yang dilaporkan. Dalam bahasa mudah, mereka menjurus untuk menuduh kerajaan mereka-reka angka-angka itu bagi membolehkan PKP dilaksanakan.

Logik akal ke setiap hari mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muyiddin Yassin akan bincang macam mana nak reka angka kes. Individu yang ada fikiran macam ini memang ‘ada masalah’ kerana sudah tak boleh lagi berfikiran secara rasional.

Perlu diingat Ismail Sabri merupakan antara pemimpin yang menentang ‘total lockdown’ walaupun ada pemimpin kanan daripada parti beliau sendiri iatu UMNO mencadangkannya ketika kerajaan mahu melaksanakan PKP 2.0.

Masihkah kita ingat bagaimana beliau menceritakan pengalamannya bertemu dengan peniaga yang bimbang jika ‘total lockdown’ mereka akan kehilangan punca pendapatan.

Masihkah kita ingat apa Ismail Sabri katakan, ‘’kehidupan rakyat miskin perlu diberi perhatian walaupun kita mahu menjaga kesihatan. Orang miskin terutamanya B40, mereka yang hidup cara kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, hidup bergantung kepada pendapatan harian untuk memberi makan anak esok bergantung kepada apa yang mereka perolehi hari ini.

‘’Dulu kita (buat PKP) selama hampir tiga bulan, saya dimaklumkan oleh mereka, wang simpanan pun dah habis dah, dia kata kalau kerajaan tutup semua perniagaan termasuk warung-warung tepi jalan dan sebagainya, mereka tak tau macam mana nak hidup, duit dah tak ada.’’

Kenyataan itu sudah membuktikan pelaksanaan PKP bukan dilakukan suka-suka apatah lagi bermotif politik seperti dakwaan sesetengah puak yang ‘otak dah berulat’ dengan politik. Semua kerajaan lakukanlah adalah untuk selamatkan nyawa rakyat, tiara alasan lain.

Kalau kerajaan nak popular, kalau kerajaan nak bagi rakyat seronok, kalau kerajaan fikir takut ada kesan masa pilihan raya nanti… boleh sahaja tidak laksanakan PKP dan biar rakyat rentas negeri dan rentas daerah untuk menyambut Aidilfitri sebab ada dok kata, pemimpin yang macam Ismail Sabri akan tanggung dosa kerana halang rakyat balik jumpa ibu bapa.

Tetapi kena faham masih ramai lagi yang menyokong keputusan kerajaan itu bagi mengekang penularan Covid-19. Yang dok terpekik terlolong dalam media sosial ini hanya mengambil kesempatan untuk hentam kerajaan dan puak ini kerajaan buat apapun tak betul.

Ismail Sabri sudah jelaskan apa yang berlaku di India. Tengoklah bagaimana setiap hari orang meninggal dunia bergelimpangan di pinggir-pinggir jalan bagaikan ikan kena tuba.

Adakah kita mahu ia berlaku kepada negara kita? Adakah kerajaan tidak akan dipersalahkan jika kes meningkat berpuluh ribu selepas Aidilfitri kerana membenarkan rentas negeri dan rentas daerah?

Ismail Sabri sudah beri amaran kes baru boleh meningkat 5,000 sehari selepas Aidilfitri kalau kita masih gagal mematuhi SOP.

‘’Jika meningkat 10,000 kes, kita mungkin jadi macam India dan kerajaan tidak mahu melihat rakyat mati bergelimpangan seperti di negara itu. Disebabkan itulah interversi dilakukan dengan segera dan saya harap rakyat faham tindakan dilakukan untuk melindungi nyawa mereka,’’ kata Ismail Sabri.

Penulis yakin ramai yang faham tindakan kerajaan tetapi malangnya ada ‘kelompok toksik’ dalam masyarakat kita yang cuba memburuk-burukkan apa juga usaha kerajaan dalam memerangi pandemik Covid-19.

‘Kelompok’ inilah yang turut ‘menyerang’ Ismail Sabri kerana mahu melepaskan geram kepada kerajaan berikutan pelaksanaan PKP.

Namun begitu Ismail Sabri sudah biasa dengan ‘serangan’ seumpama itu dan yakin apa yang kerajaan lakukan adalah demi kesejahteraan rakyat. Lagipun tiada apa yang perlu beliau dan kerajaan risaukan kerana sehebat manapun tuduhan yang dilemparkan, akhirnya keikhlasan dan kebenaran akan menghapuskan prasangka dan fitnah. Utv

Saya tahu rakyat marah – Ismail Sabri

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker