Saya tahu rakyat marah – Ismail Sabri

Sebaran :


“Saya tahu rakyat marah (PKP) tetapi tujuan kita untuk menyelamatkan nyawa mereka,” demikian penjelasan Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di enam daerah di Selangor bermula tengah malam ini dan Kuala Lumpur pada 7 Mei.

Beliau menangkis pelbagai dakwaan dilemparkan kepada kerajaan selepas mengumumkan PKP itu menjelang perayaan Aidilfitri pada minggu depan.

Menurutnya, keputusan dibuat kerajaan berdasarkan sistem amaran awal iaitu ‘Hotspots Identification for Dynamic Engagement’ (HIDE) yang dibangunkan Bank Negara Malaysia (BNM) bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berpandukan MySejahtera.

“Rakyat kena faham bukan tujuan kerajaan untuk menyusahkan rakyat.

“Kita tidak mahu Malaysia akhirnya menjadi seperti India selepas beberapa pemimpin negara itu mengisytiharkan menang dalam peperangan menentang Covid-19 dan mula memberikan kebebasan.

“Akibatnya, berlaku penularan Covid-19 di India sehingga kerajaan sudah tidak mampu mengawalnya,” katanya ketika sidang media selepas menghadiri majlis berbuka puasa bersama pelajar Sekolah Tahfiz dan Asrama Anak Yatim Angkatan Tentera Malaysia (STAY ATM) di Kem Perdana Sungai Besi di sini, hari ini.

Menurutnya, mengambil contoh di Kelantan yang berlaku peningkatan mendadak Covid-19 hingga hospital dan Unit Rawatan Rapi (ICU) sudah penuh.

“Kelantan terpaksa buka hospital sementara kerana katil hospital sedia ada tidak mencukupi.

“Perkara ini sudah berlaku di Kelantan dan tidak mustahil Kuala Lumpur dan Selangor (boleh berlaku) berdasarkan peningkatan kes yang mendadak,” katanya.

Ismail Sabri berkata, pihaknya dimaklumkan melalui pembentangan KKM tidak mustahil selepas Aidilfitri kes boleh meningkat kepada 5,000 sehari.

“Tidak mustahil meningkat sehingga 5,000 kes dan jika masih gagal mengekang perkara ini dengan kealpaan kita, tidak mustahil juga boleh menjadi 10,000 kes.

“Jika jadi 10,000 kes, kita mungkin jadi macam India dan kerajaan tidak mahu melihat rakyat mati bergelimpangan seperti di negara itu.

“Disebabkan itu, intervensi perlu dilakukan dengan segera dan saya harap rakyat faham tindakan dilakukan untuk melindungi nyawa mereka,” katanya.

Tegasnya, beliau tidak mahu menjadi kerajaan tidak bertanggungjawab jika keadaan itu berlaku dan atas sebab sayangkan rakyat, PKP adalah jalan terbaik diputuskan kerajaan.

Sementara itu, Ismail Sabri menjelaskan atas nasihat KKM juga tidak membenarkan ‘dine-in’ di restoran di kawasan PKP.

“Kalau kita pergi pasar raya, masih boleh pakai pelitup muka dan hanya susah untuk mengawal penjarakan fizikal.

“Tetapi keadaan itu tidak berlaku di restoran kerana kita tidak memakai pelitup muka menyebabkan jangkitan secara langsung boleh berlaku.

“Disebabkan itu, KKM beri nasihat susah untuk mereka membenarkan (dine-in) kerana tiada pelitup muka dan jadi lebih berbahaya kerana di kawasan tertutup,” katanya. HM

SOP sambutan Aidilfitri tahun ini


Sebaran :

Leave a Reply