Kes Covid-19 lepas raya cecah 10,000 jika…



Sebaran :

KUALA LUMPUR: Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengakui tidak mustahil bilangan kes Covid-19 boleh mencecah sehingga 10,000 selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri jika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak dilaksanakan dengan segera.

Beliau berkata, perkara itu dimaklumkan sendiri oleh Kementerian Kesihatan ketika pembentangan Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebelum pelaksanaan PKP dimuktamadkan.

Katanya, ia berdasarkan pemerhatian yang dilakukan terhadap kemampuan hospital di seluruh negara ketika ini.



“Hospital makin penuh, unit rawatan rapi (ICU) juga sudah hampir habis digunakan. Di Kelantan terpaksa buka hospital sementara kerana tidak cukup katil.

“Hospital swasta yang ada kerjasama dengan kerajaan juga sudah hampir habis katilnya,” katanya kepada pemberita ketika hadir majlis berbuka puasa di Sekolah Tahfiz dan Asrama Anak Yatim Angkatan Tentera Malaysia (Stay ATM) di sini, hari ini.

Justeru, katanya, keadaan boleh menjadi bertambah buruk jika tidak ada intervensi dan kegagalan dalam pematuhan prosedur operasi standard (SOP).



Tak setuju dengan pusat, Selangor batalkan pasar Ramadan di kawasan PKP

“Saya dimaklumkan melalui pembentangan KKM, tidak mustahil lepas raya kes boleh meningkat 5,000.

“Kalau masih gagal menyekat dan gagal mematuhi SOP, kes boleh jadi 10,000 dan kita mungkin jadi macam India, kita tidak mahu rakyat mati bergelimpangan di tepi jalan. Sebab itu intervensi perlu dilakukan segera,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail turut menjelaskan kebenaran makan di restoran tidak dibenarkan kerana faktor topeng muka.



“Makan di restoran mudah terkena jangkitan kerana jika di pasaraya ada juga yang tidak mengamalkan penjarakan sosial tapi masih ada perlindungan topeng. Tapi kalau makan di restoran tidak ada penjarakan dan lebih bahaya kalau tak pakai topeng, ia transmisi secara terus antara satu sama lain.

“Sebab itu KKM memberi nasihat dan susah kita nak benarkan, tidak ada topeng lebih bahaya jadi kita tidak bagi. Tapi kita tengoklah kalau kes berkurangan nanti,” katanya.-UTUSAN ONLINE


Sebaran :


Leave a Reply