‘Ordinan Darurat tak beri impak dalam tangani wabak’- Zahid Hamidi

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendakwa Ordinan Darurat yang dilaksanakan tidak memberi impak dalam menangani penularan wabak (Covid-19) di negara ini.

Menerusi satu kenyataan dimuat naik di Fabeooknya, Ahmad Zahid berkata, beliau sebagai wakil rakyat berasa kesal kerana tidak dibenarkan menjalankan tanggungjawab di Parlimen untuk menggembleng idea bersama ahli Parlimen lain bagi mencari jalan keluar buat rakyat dan negara.

 

“Realiti pada hari ini lebih 2,000 hingga 3,000 kes jangkitan sehari Covid-19 di Malaysia. Ordinan Darurat tampak tidak memberi impak dalam menangani penularan wabak.

“Saya pula sebagai wakil rakyat berasa kesal tidak dibenarkan menjalankan tanggungjawab di Parlimen,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, beliau memahami rakyat kian kepenatan dan kebosanan.

Katanya, ada rakyat kehilangan pekerjaan, perniagaan merosot dan anak-anak lama tidak bersekolah.

Namun katanya, dalam keterpaksaan semua pihak berharap penghasilan yang berbaloi pada ‘hari esok’.

“Mereka (rakyat) pernah berkorban banyak perkara dan majoriti telah berusaha sehabis baik mematuhi SOP (prosedur operasi standard) sejak PKP (Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama 18 Mac 2020.

“Namun sehingga kini masih tiada tanda-tanda pemulihan, malah keadaan tambah memburuk.

“Seperti anda, saya juga berasa kecewa apabila mengingati segala pengorbanan itu,” katanya.

Menerusi kenyataan itu, beliau turut menyeru rakyat supaya tidak berasa putus asa.

Katanya, semua pihak perlu melipat gandakan usaha melawan pandemik Covid-19 sedaya upaya.

“Walau apa pun kita belajar daripada kekurangan sebelum ini dan terus maju melawan pandemik. Kuatkan semangat. Terus berdoa memohon ke hadrat ilahi agar terlepas marabahaya ini. Insya-ALLAH,” katanya.-SH

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker