Elak Malaysia terima nasib seperti India, Ini 3 langkah perlu dilaksanakan

Sebaran :

Malaysia perlu melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi negeri-negeri yang mempunyai kes tinggi COVID-19, meningkatkan pemberian vaksin kepada rakyat dan memperketatkan prosedur operasi standard (SOP).

Pengarah Pusat Penyelidikan dan Pendidikan Penyakit Berjangkit Tropika (TIDREC), Profesor Dr Sazaly Abu Bakar mencadangkan tiga langkah itu bagi mengelakkan negara ini menerima nasib sama seperti di India yang mencatatkan jumlah jangkitan tertinggi di dunia akibat wabak itu.

Hanya dengan tindakan serius daripada kerajaan dan rakyat terhadap tiga langkah itu mampu meredakan jangkitan COVID-19, katanya.

“Pada pandangan saya, pelaksanaan PKP bagi negeri-negeri yang mempunyai kes COVID-19 tinggi bagi tempoh minimum dua minggu adalah wajar.

“Tempoh dua minggu ini untuk meredakan kes jangkitan yang melepasi angka 3,000. Kita semua tahu katil di unit rawatan rapi (ICU) di enam buah hospital di Lembah Klang telah mencapai tahap 90 peratus penggunaannya selain ada negeri yang mungkin berdepan situasi kekurangan katil di Pusat Kuarantin serta Rawatan Covid-19 (PKRC),” katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Laksana segera PKP 3.0 – Datuk Dr. Zainal Ariffin Omar

Tambahan pula, katanya, jumlah pemberian vaksin kepada rakyat di negara ini juga perlu dipertingkatkan dan tidak boleh dilengahkan bagi memutuskan rantaian wabak itu.

“Saya cukup kagum dengan pendekatan Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang membuka kepada umum bagi mendaftarkan diri untuk mendapatkan vaksin AstraZeneca biarpun sebelum ini rakyat masih ragu-ragu.

“Kita lihat baharu beberapa jam permohonan dibuka, sudah pun penuh. Dalam situasi itu, saya boleh katakan bahawa kritikan terhadap usaha kerajaan akan ada tetapi apabila ia dibuka, ramai yang ingin mendapatkan suntikan vaksin,” katanya.

Katanya, beliau turut berharap rakyat terus konsisten terhadap pematuhan SOP dalam kalangan rakyat di negara ini kerana jika ia diabaikan, jangkitan wabak itu akan terus meningkat.

Kerajaan nilai semula pelaksanaan PKP – Muhyiddin

Terdahulu, India terus mencatatkan kes jangkitan COVID-19 harian tertinggi, sehari selepas jumlah jangkitan baharu dicatatkan melepasi angka 400,000 kes.

Kementerian Kesihatan India memaklumkan, sebanyak 3,689 pesakit Covid-19 meninggal dunia dalam tempoh 24 jam

Semalam, Malaysia mencatatkan kes pertama kemasukan varian COVID-19 dari India.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, varian itu yang mempunyai mutasi berganda dikenali B.1.617.1, dikenal pasti hasil analisis keseluruhan jujukan genom (WGS), selepas saringan dilakukan di pintu masuk utama negara.

Katanya, kes mutasi berganda yang menyumbang hampir 60 peratus daripada penularan secara besar-besaran di India dikesan menerusi seorang warga republik itu.

Seluruh Kelantan kena PKP


Sebaran :

Leave a Reply