Ahmad Fuzi dilantik TYT Pulau Pinang baharu


Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah hari ini berkenan mengurniakan Watikah Pelantikan Tuan Yang Terutama (TYT) Yang Dipertua Negeri (YDP) Pulau Pinang kelapan kepada Ahmad Fuzi Abdul Razak di Istana Negara.

Pelantikan bekas diplomat itu berkuat kuasa esok sehingga tempoh empat tahun bagi menggantikan Abdul Rahman Abbas yang berkhidmat selama 20 tahun.

Selepas istiadat pengurniaan watikah itu, Sultan Abdullah turut berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Seri Maharaja Mangku Negara yang membawa gelaran Tun kepada Ahmad Fuzi.

Istiadat pengurniaan yang berlangsung pagi ini turut disaksikan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin. Turut hadir isteri Perdana Menteri Noorainee Abdul Rahman.



Turut hadir Yang Dipertua Dewan Negara Rais Yatim, Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow dan Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang Abdul Razak Jaafar.

Ahmad Fuzi, 72, yang juga anak jati Sungai Bakap, Pulau Pinang, menyertai perkhidmatan diplomatik dan pentadbiran negara pada 1972 dan pernah berkhidmat dalam pelbagai kapasiti termasuk Ketua Setiausaha di Kementerian Luar Negeri sehingga 2009.

Beliau pernah mengetuai delegasi pegawai kanan Malaysia dalam rundingan pelbagai persidangan dua hala, serantau dan antarabangsa dan terlibat dalam penganjuran sidang kemuncak seperti Sidang Kemuncak NAM (Pergerakan Negara-negara Berkecuali), Sidang Kemuncak OIC (Pertubuhan Kerjasama Islam) dan Sidang Kemuncak ASEAN. FMT



Bekas Ketua Polis Negara menamatkan zaman duda

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker