Steven Sim perjelas isu tular bantu penghantar makanan


Selepas hampir dua minggu isu pemberian motosikal kepada seorang penghantar makanan tular di media sosial, Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong akhirnya tampil memberi penjelasan hari ini.

Menurut Steven, dia terpaksa merahsiakan identiti Anas Hazmi Ahmad, 22, sebelum ini atas permintaan lelaki itu yang enggan isu berkenaan dipolitikkan.

“Saya sebenarnya memilih untuk tidak mahu menjawab (isu pemberian motosikal) sebelum ini, namun terpaksa berbuat demikian sekarang kerana fitnah ini semakin melampau.

“Saya hanya menghormati penerima bantuan (Anas Hazmi) yang tidak mahu identitinya didedahkan kepada umum, tapi saya pula difitnah macam-macam,” katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di Bukit Mertajam yang turut dihadiri oleh Anas Hazmi.



Isu pemberian motosikal itu tular selepas beberapa media dan netizen mendakwa gagal menjejaki Anas Hazmi yang diperkenalkan sebagai Mohamad oleh Sim menerusi beberapa hantaran di laman Facebook beliau sebelum ini.

Pensyarah kanan Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Kamarul Zaman Yusoff yang tampil menawarkan wang tunai sebanyak RM2,000 kepada sesiapa yang boleh memberikannya maklumat lanjut tentang pemuda berkenaan sehingga isu itu semakin panas.

Mengulas lanjut, Steven berkata, beliau hanya memperuntukkan sekitar RM4,000 untuk membeli motosikal jenis Honda Dash 125 kepada Anas Hazmi dan wang selebihnya disumbangkan oleh penderma lain yang enggan dikenali.



Justeru, beliau berkata berasa hairan bagaimana ada pihak yang memuat naik geran motosikal palsu di Facebook yang kononnya dimiliki oleh seorang lelaki berbangsa Cina susulan pembelian motosikal berkenaan.

Pada masa sama, beliau juga mendakwa agak hairan apabila isu Anas Hazmi gagal ‘dijejaki’ timbul sedangkan pemuda tersebut turut dihampiri oleh pemimpin politik lain untuk menghulurkan bantuan selepas isu berkenaan tular.

“Saya adalah ahli Parlimen dan sekarang Parlimen tak boleh bersidang. Jadi, saya melakukan kerja saya dengan memberi bantuan.

“Tapi apabila saya beri bantuan, ini pula yang terjadi. Saya tidak pernah menyerang mana-mana parti politik, tak pernah sebut kerajaan gagal atau parti mana gagal. Jadi, mereka bukan mahu mencari kebenaran, namun, mencari peluang untuk menyerang saya sahaja,” katanya.



Dalam pada itu, Anas Hazmi juga mendakwa terkesan dengan pelbagai tohmahan yang dilemparkan terhadap dia dan Sim sehingga kini.

“Saya terkilan kerana ada pihak yang sanggup tawarkan wang sebanyak RM2,000 seperti saya seorang penjenayah sedangkan saya tak buat apa-apa pun terhadap mereka,” katanya. K Online

Peguam buat laporan polis terhadap Kamarul Yusoff



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker