COVID-19: Bantuan negara asing tiba di India


NEW DELHI: Bekalan perubatan kecemasan pertama tiba di India hari ini di bawah kempen global untuk menghentikan gelombang bencana di negara yang menjadi tompok panas terbaru wabak itu.

Peti ventilator dan pemampat oksigen dari United Kingdom (UK) dibawa turun di sebuah lapangan terbang d New Delhi awal pagi tadi, yang penghantaran pertama tiba di negara itu untuk menangani krisis coronavirus.

Jurucakap Kementerian Luar India, Arindam Bagchi, menerusi ciapan Twitter, berkata kerjasama antarabangsa sedang berjalan di bawah gambar menunjukkan penghantaran sulung itu.

Dalam pada itu, Amerika Syarikat (AS) berjanji untuk mengeksport jutaan dos vaksin AstraZeneca ke India.

Jerman dan Kanada berjanji memberi sokongan manakala Perancis semalam berkata akan menghantar lapan unit mesin penghasilan oksigen dan bekas oksigen serta alat pernafasan ke India.

Jangkitan dan kadar kematian di India meningkat dengan amat pantas, menyebabkan hospital dibanjiri pesakit, berbeza dengan beberapa negara Barat kaya di mana sekatan mula dilonggarkan.

Negara Eropah mula menarik balik sekatan selepas kadar kemajuan suntikan vaksin meningkat.

Di Itali, negara Eropah pertama dilanda wabak pada awal 2020 dan masih menjadi salah satu negara paling teruk terjejas, bar, restoran, pawagam dan dewan konsert dibuka semula semalam.

Selepas berbulan-bulan sekatan mula dikenakan bagi mengawal gelombang kedua dan ketiga COVID-19, Itali berharap pelonggaran terbaru itu akan menandakan permulaan baharu, umpamanya musim panas seperti biasa tanpa musibah.

COVID-19, kini sudah membunuh lebih 3.1 juta orang di seluruh dunia, dengan India berdepan peningkatan jumlah kes global, mencatatkan lebih 2,800 kematian setakat semalam.

Di tempat lain di ibu negara itu, gambar AFP menunjukkan api marak melitupi hampir keseluruhan pusat pembakaran di mana mangsa COVID-19 menunggu giliran untuk dibakar.

Sementara itu, kebanyakan tanah perkuburan sudah dipenuhi liang kubur menanti mayat mangsa coronavirus yang bertali arus. AFP

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker