Zahid Lahir Rasa Bimbang Lihat Situasi Ekonomi Makin Goyah


KUALA LUMPUR, 13 April – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melahirkan rasa bimbang melihat situasi semasa ekonomi negara yang semakin goyah.

Katanya, rakyat telah menyaksikan satu demi persatu syarikat antarabangsa memindahkan operasi dari Malaysia ke negara lain.

“Ini bukan soal ekonomi global. Ia berkait rapat bagaimana kita mahu memulihkan ekonomi Malaysia. Ia juga berkait rapat kestabilan politik, ketetapan dasar, ketetapan cukai dan kemampuan menangani kes Covid-19.

“Jika keyakinan pelabur tiada, bagaimana mereka mahu membuka perniagaan di Malaysia?” kata beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) dalam hantaran facebooknya hari ini.



Jelasnya, minggu lalu Citygroup Inc menyatakan hasrat untuk keluar daripada fraincais penggunanya di 13 pasaran termasuk Malaysia. Dan kenyataan itu telahpun disuarakan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Jane Fraser.

“Jika hasrat itu dilaksanakan ia bermakna bank berkenaan akan mengendalikan francais mereka hanya dari Singapura, Hong Kong, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan London.

“Kenapa Singapura dan bukan Malaysia sedangkan dua negara ini saling berdekatan. Saya fikir sahabat saya sekalian tahu jawapannya. Saya percaya jika kita bertanyakan pihak pemerintah, jawapan yang akan diberikan adalah ia kesan ekonomi global.

“Saya juga percaya mereka akan beri jawapan selain Malaysia, 12 negara lain yang terjejas adalah Australia, Bahrain, China, India, Indonesia, Korea Selatan, Filipina, Poland, Rusia, Taiwan, Thailand dan Vietnam.”



Dilaporkan semalam Pengurus Perniagaan Pengguna Citi Malaysia, Elaine Fan pula memberitahu semua produk perkhidmatan sedia ada akan diteruskan iaitu tidak akan ada perubahan sehingga mereka memaklumkan perubahan pada masa depan.

“Sememangnya kita mengharapkan pengekalan itu dalam tempoh yang panjang kerana melibatkan ekonomi dalaman Malaysia. Jika rangkaian bank ditutup bagaimana dengan cawangan, ATM, pusat panggilan, pendeposit dan pejabat? Tentunya akan ditutup bukan?

“Lebih parah apabila kita bakal menyaksikan ramai pekerja tempatan diberhentikan kerja sekaligus menambahkan kadar pengangguran. Tidak kurang juga FDI negara, cukai dan sumbangan ekonomi negara akan terus berkurangan,” katanya lagi. Umno Online

Apa guna berkuasa jika tak mampu bela agama dihina? – Presiden BERJASA



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker