‘Walau tak kaya, kami tak sampai hati minta bayaran’ – Hattan


Demi melihat usahawan kecil dan peniaga tempatan berjaya Hattan berkata dia pernah menawarkan bantuan mempromosi produk mereka tanpa dibayar pengusaha terbabit.

Caranya, kata Hattan, dia akan memberikan ulasan sesuatu produk di media sosial tanpa mengambil kesempatan atas kesempitan yang dialami pengusaha dan peniaga kecil akibat Covid-19.

Menurut penyanyi itu, ‘upah’ untuk khidmatnya itu mencukupi jika dia berpuas hati dan dapat berkongsi kegembiraan melihat usahanya memberi kesan positif.

“Walaupun tidak kaya kami (Hattan dan isteri) tak nak ambil apa-apa bayaran. Sebenarnya memang tak sampai hati pun nak minta bayaran.

“Saya bantu mereka yang perlukan bantuan secara percuma, tiada upah diambil. Hal itu termasuk pengusaha IKS (industri kecil dan sederhana) sekiranya ada yang nak saya buat ulasan produk perniagaan mereka.

“Kami tak harap apa-apa, jika dia berjaya kami amat bersyukur,” katanya.

Hattan, 56, ditemui pada majlis pelancaran dan memperkenalkannya sebagai duta Stobu di Petaling Jaya baru-baru ini.

Kata pemilik nama penuh Mohd Shukri Shahabudin itu semuanya bermula selepas dia didatangi seorang penjual lemang yang mengadu tidak mempunyai kerja.

“Budak tu datang bawa bekas plastik berisi lemang dan minta saya tolong review (ulas) menjelang Aidilfitri. Alhamdulillah lepas tu perniagaannya terima sambutan menggalakkan.

“Kemudian ada seorang lagi yang saya bantu – juga penjual lemang – hingga laris jualannya. Dia berjaya jual 15,000 lemang dengan jumlah anggaran RM300,000.

“Selepas tu saya juga bantu penyanyi Hazama dalam perniagaannya. Susulan itu, lebih ramai peniaga datang meminta kami buat ulasan,” katanya.

Penyanyi lagu Biso Bonar itu berkata, bantuan yang dihulur itu adalah untuk membantu peniaga pada tahun lalu.

Menurutnya, kini dia sudah menghentikan sebarang ulasan di media sosial pada tahun ini bagi memfokuskan perniagaan sendiri.

Namun Hattan mengalu-alukan sekiranya masih ada peniaga berminat untuk menggunakan khidmat syarikatnya bagi mempromosi produk mereka.

“Mereka tidak perlu bayar saya, cuma membenarkan saya lakukan promosi untuk projek tersebut dan (jika ada keuntungan) we share the cake (labanya dikongsi bersama). Ia adalah situasi menang-menang,” katanya.

‘Salah ke saya tegur?’

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker