Kerajaan dituduh ‘tunduk’ pada perniagaan, buat U-turn berkait perumahan pekerja


Kumpulan hak asasi manusia dan Ahli Parlimen berkata, kerajaan ditekan oleh perniagaan berikutan keputusannya melonggarkan penguatkuasaan undang-undang berkaitan standard perumahan pekerja.

Pengarah eksekutif Tenaganita, Glorene Das berkata ia secara jelas pekerja dijadikan “alat keuntungan”, dan Ahli Parlimen Klang Charles Santiago berkata Putrajaya menunjukkan tidak serius dalam mencegah penularan kluster Covid-19 di tempat kerja.

Parlimen meluluskan pindaan Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) pada Julai 2019. Akta itu mewajibkan ruang minimum yang ditetapkan untuk kediaman pekerja, kemudahan asas selain standard keselamatan dan kebersihan.

Bagaimanapun, kumpulan majikan dan perniagaan berulang kali menyuarakan sungutan terhadap penguatkuasaan akta itu, dengan berkata banyak syarikat masih dalam proses pemulihan daripada kesan pandemik Covid-19 dan memerlukan masa untuk biasa dengan undang-undang.

Penguatkuasaan bermula pada 1 Sept lalu, malah ada beberapa syarikat juga yang telah didakwa di mahkamah, tetapi Menteri Sumber Manusia M Saravanan semalam mengumumkan golongan majikan diberi tempoh sehingga Disember sebelum undang-undang itu dikuatkuasakan sepenuhnya.

Das beritahu FMT: “Ini membuktikan pekerja bukanlah keutamaan. Jika standard minimum pun tidak boleh dipatuhi majikan, jelas keperluan pekerja tidak penting.

“Antara manfaat ekonomi dan hak asasi manusia, pekerja menjadi alat meraih keuntungan.

“Syarikat-syarikat ini membayar sejumlah cukai kepada kerajaan, dan kerajaan memang bergantung padanya.”

Walaupun akta itu sepatutnya berkuat kuasa pada 1 Jun 2020, tetapi Kementerian Sumber Manusia (KSM) memberikan tempoh sehingga 1 Sept 2020.

Susulan peningkatan jangkitan Covid-19 yang dikaitkan dengan pekerja kilang di asrama lewat tahun lalu, Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata, KSM akan mula menguatkuasakan akta berkenaan pada 26 Nov 2020.

Mereka yang gagal mematuhi akta itu boleh didenda sehingga RM50,000. Malah di bawah Ordinan Darurat, majikan boleh didenda sehingga RM200,000 atau dipenjara maksimum tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.

Walaupun pentingnya pelaksanaan akta itu berulang kali ditegaskan, termasuk Saravanan bulan lalu menyifatkannya mampu memperbaiki imej Malaysia dalam pengurusan pekerja asing, Ahli Parlimen Klang Charles Santiago berkata, kelonggaran yang diumumkan semalam membuktikan kerajaan tidak serius dalam menangani kluster tempat kerja.

“Kerajaan pada dasarnya memburukkan lagi diri sendiri. Ini menunjukkan ia tidak memiliki rancangan permainan dan benar-benar ditekan oleh perniagaan,” katanya.

Kata beliau, Putrajaya harus mengambil pelajaran dari Singapura. “Kerajaan di sana berkata sesuatu dan perniagaan akan mendengar. Di sini, terbalik pula. Ini kerana kerajaan kita lemah.” FMT

Menteri: Asrama pekerja Top Glove teruk, akan ambil tindakan

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker