Cef Dave berpuasa sejak umur 16 tahun

APABILA tiba bulan Ramadan pasti pelbagai kisah menarik dapat dikongsikan untuk paparan ramai.

Kemuliaan bulan ini juga bukan sahaja disambut oleh umat Islam namun yang tidak beragama Islam turut meraikannya dengan mencuba untuk berpuasa selama sebulan.

Kalidevan Dave Murugaya, 29, atau lebih dikenali sebagai Cef Dave antara insan mempraktikkan puasa di bulan Ramadan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia baru-baru ini, katanya beliau belajar berpuasa sejak berumur 16 tahun.

Katanya kalau dulu dia hanya ‘hentam’ sahaja waktu berbuka puasa, namun tahun ini beliau lebih sedar mengenai teknik berpuasa sihat selepas mendengar nasihat Doktor Kesihatan Profesional (MBBS), Datuk Dr. Nordin Darus mengenai puasa.

“Kalau dulu, masa berbuka puasa pasti ‘hentam’ sahaja. Tahun ini saya tidak mahu ulang kesilapan itu.

“Saya berniat untuk melalui satu proses untuk membersihkan dalam dan luar diri saya, tidak membazirkan makanan sama ada berbuka mahupun sahur dengan seringkas yang boleh serta duit-duit yang biasa belanja di bazar atau bufet akan disedekah kepada orang yang lebih susah,” katanya.

Dave turut gemar berkongsi resipi kegemaran rakyat Malaysia yang diolah untuk disesuaikan dengan resipi pengamal makanan vegan di Facebook miliknya.

Beliau memiliki berpengalaman selama lapan tahun berkhidmat dalam bidang perhotelan dan di atas kapal pelayaran Disney Cruise Line.

Bagaimanapun seperti orang lain, beliau senasib hilang pekerjaan dan mata pencarian akibat pandemik Covid-19 pada Mac tahun lalu.

DAH BIASA PUASA
Ujar Dave, dia bukan sahaja berpuasa di bulan Ramadan tetapi turut belajar berpuasa dalam tempoh sebelum perayaan Hari Easter tiba pada penghujung Lent bagi penganut Kristian sejak belajar di kolej sehingga tahun lalu walaupun dia tidak menganut mana-mana agama.

“Apabila sudah biasa berpuasa, lama-kelamaan ia jadi sebagai satu budaya sehingga lupa makna asal berpuasa,” katanya.

KONGSI RESIPI
Dave, sebelum ini pernah tular membuat pendekatan berani apabila mengedarkan 1,000 keping kad nota yang tertulis ‘Tolong Bantu Saya’ kepada 600 jiran tetangga di kawasan kediamannya di Sentul.

Kad nota diedarkan itu memohon jasa baik jiran-jirannya dan keluarga membantu menyokong saluran Youtube miliknya dengan menjadi pengikut dan menekan butang loceng di saluran itu supaya mereka menerima notifikasi apabila dia memuat naik video masakannya.

Saluran Youtube, Chef Dave Vegan Journey meningkat daripada 1,900 ke 61,000 pengikut pada empat bulan pertama dibuka. Pelbagai resipi tradisional dan masakan rakyat Malaysia dikongsinya, antaranya Nasi Goreng Vegan, Tom Yam Putih, Sago Gula Melaka, Tosai dan sebagainya.

PROJEK TERBAHARU
Terbaharu, Cef Dave turut berkongsikan pelbagai resipi sihat untuk sahur, menu minuman dan makanan berbuka puasa yang semestinya membuat pengikutnya terliur lantas mencuba resipi yang banyak memberi inspirasi di bulan Ramadan ini.

Katanya untuk resipi sahur, beliau lebihkan penggunaan buah-buahan dan sayur-sayuran.

“Tiada nasi dan lauk bagi mengamalkan cara pemakanan sihat. Selain itu, saya juga amalkan resipi sahur sihat seperti Puding Suji Tanpa Gula bersama Susu Sproud Kurma yang dikongsikan di Facebook Chef Dave Vegan Journey,” katanya.

Untuk menu berbuka puasa pada hari pertama, dia menyediakan Nasi Kerabu sihat tanpa daging, ayam atau ikan yang digantikan kepada sayur-sayuran seperti timun, tomato, taugeh dan tempe serta tauhu.

Tidak dilupa sebiji kurma, segelas air masak, sebiji pisang dan sebiji air kelapa dihidangkan bersama seperti yang dikongsikannya di laman sosialnya.

Perkongsian resipi Dave bukan sahaja menjadi tarikan dan memberi inspirasi kepada rakyat Malaysia, tetapi turut diikuti kenalan dan pengikutnya yang berada di luar negara.

Kebolehan beliau bertutur dalam pelbagai bahasa serta membuat suntingan alih bahasa pada video dan resipi yang ditulisnya menjadi salah satu keistimewaan dimiliki anak jati Jementah, Segamat ini

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker