Batu kecubung (Amethyst) bernilai tinggi ditemui di Jeli
Amethyst – atau turut dikenali sebagai batu kecubung – bernilai tinggi antara mineral yang berjaya ditemui di kawasan perlombangan di Jeli, Kelantan, pada Program International Geomapping Jeli (IGJ) 2021, anjuran Fakulti Sains Bumi dan Pusat Antarabangsa, Universiti Malaysia Kelantan (UMK), baru-baru ini.
Ketua Jabatan Geosains Fakulti Sains Bumi UMK Wani Sofia Udin berkata penemuan ketulan batu kecubung bernilai tinggi di beberapa lokasi perlombongan itu merupakan satu penemuan terpenting direkodkan pada program tersebut.
Katanya, hasil kajian pada program itu juga peserta menemui ketulan batuan kuartza dan dragfold iaitu kesan geologikal struktur pada batuan yang amat jarang ditemui.
“Turut ditemui ialah batuan jenis pyrite dan batu gunung berapi.
“Dengan penemuan penemuan tersebut, pelajar dapat mengkaji morfologi dan mengemas kini peta geologi kawasan Jeli melalui aktiviti pemetaan yang dilakukan.
“Kajian kali ini memberi hasil yang penting kepada para mahasiswa khususnya untuk memberi pendedahan terhadap pemetaan geologi serta pengaplikasian kerja lapangan,” katanya dalam kenyataan media di Kota Bharu hari ini.
Tambah Wani Sofia, antara kawasan yang diteroka pada program itu ialah Bukit Jeli, Bukit Salor, Kampung Lawar, Kampung Sungai Rual, Lata Chenai, Sungai Pergau, Sungai Renyok dan Sungai Tadah.
Menurutnya program itu disertai 48 pelajar UMK dan penyertaan secara dalam talian oleh 36 mahasiswa jurusan geologi dari universiti di Indonesia.
“Peserta antarabangsa mengikuti kajian secara maya melalui panggilan telefon daripada pelajar UMK sambil mereka menerangkan hasil penemuan batuan dan hasil kajian pemetaan di lapangan.
“Peserta diberi tugasan berkaitan subjek asas pemetaan untuk dipelajari dan hasil daripada eskpedisi kajian tentang batuan itu mereka berjaya menemui beberapa mineral dan fosil yang terbaru dan sukar ditemukan,” jelasnya. Mk
You must be logged in to post a comment.