Azan Maghrib Awal: Jais Mulakan Siasatan… Teliti keterangan masjid, rujuk mufti – Pengarah

JABATAN Agama Islam Selangor (Jais) akan merujuk kepada mufti negeri berhubung insiden sebuah masjid yang tersilap melaungkan azan tiga minit lebih awal sebelum waktu yang sebenar.

Pengarah Jais, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, perkara itu berkaitan dengan hukum, maka ia perlu diteliti terlebih dahulu berdasarkan pandangan mufti sebelum membuat keputusan kepada umum.

“Jais akan rujuk dahulu dengan Mufti Selangor. Sama ada puasa itu terbatal atau tidak, kita tunggu dahulu pandangan mufti beri pandangan dan buat kenyataan,” katanya kepada mStar ketika dihubungi.



Dalam pada itu, Jais akan turut meminta masjid berkenaan supaya menghantar laporan dan memberi keterangan berhubung kejadian yang berlaku.

“Kalau jam tu dah tersilap nak buat macam mana. Tapi kita akan teliti perkara ini dengan mendapatkan keterangan daripada masjid itu dan meminta mereka memberikan laporan penuh,” katanya.

Terdahulu, dalam satu kenyataan rasmi, pihak pentadbir Masjid Al-Khairiyah Taman Seri Gombak turut memohon maaf atas kesilapan itu.

Menurut Nazir masjid, Wan Nawawi, kesilapan berpunca akibat masalah teknikal pada paparan digital waktu azan di rumah ibadah itu.



“Assalamualaikum. Saya mewakili seluruh pentadbir Masjid Al-Khairiyah Taman Seri Gombak memohon maaf atas kesilapan kami melaungkan azan Maghrib tiga minit sebelum masuk waktu sebenar pada hari Isnin, 7 Ramadhan 1442 atau 19 April 2021 disebabkan oleh masalah teknikal paparan digital waktu azan di masjid,” ujarnya.

Ujar beliau, pandangan jumhur ulama menyatakan puasa mereka yang terlibat dalam insiden itu terbatal dan ia perlu diganti semula.

“Jemaah yang bergantung semata-mata kepada laungan azan Maghrib dari Masjid Al-Khairiyah untuk berbuka puasa, sila maklum bahawa puasa tuan puan telah terbatal pada hari tersebut dan perlu diganti atau diqada.

“Begitulah pandangan jumhur ulama dalam kalangan Hanafi, Maliki, Syafie dan ramai di kalangan ulama Hambali menyatakan bahawa puasa tersebut batal dan wajib diqada.



“Sekali lagi kami mohon maaf dan InsyaAllah perkara sebegini tidak akan berlaku lagi,” ujar beliau dalam kenyataan itu.

Sementara itu, Pencetus Ummah (PU) Amin berpandangan bahawa tiada tanggungan dosa bagi sesiapa yang yang terbatal puasanya disebabkan tidak sengaja.

“Tak ada tanggung dosa siapa-siapa sebab tak sengaja. Boleh qada puasa selepas 1 Syawal,” kata PU Amin atau nama sebenarnya Mohamad Amirul Amin Maula Lokman Hakim secara ringkas.-mSTAR



Masjid di Gombak Mohon Maaf Laung Azan Maghrib Tiga Minit Awal, Puasa Terbatal

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker