“Saya nak bersihkan nama” – Pelakon iklan judi raya
Kuala Lumpur: “Sekarang ini saya nak bersihkan nama dari rakyat Malaysia. Semua bercakap buruk mengenai perkara ini. Mereka cakap berdasarkan apa dilihat, tapi tidak tahu apa berlaku sebaliknya.”
Itu kata pelakon, Saif Yunus susulan penularan video iklan judi raya membabitkan syarikat perjudian dalam talian yang tular sejak 14 April lalu.
Saif, 24, atau nama sebenarnya Saifullah Mohd Yunus ketika dihubungi berkata, dia memaafkan semua orang yang sudah mengecam dan melemparkan kata-kata kesat terhadap dirinya.
Malah, Saif yang juga pelakon drama Marry Me Senorita yang ditayangkan di saluran Astro Ria baru-baru ini tidak mahu bersikap tegakkan benang basah kerana menyedari perkara itu adalah satu kesalahan.
“Walaupun saya sudah minta maaf sebelum ini, netizen masih nampak salah dan buruk. Tapi, saya tetap mahu bersihkan nama. Saya cuba untuk jelaskan agar semua faham, tapi jika masih ada yang tidak faham, nak buat macam mana. Apa yang penting saya sudah lakukan perkara sepatutnya.
“Dalam masa sama, saya bersyukur sebab dapat lihat yang mengecam ini sebenarnya mereka menegakkan perkara yang betul iaitu aktiviti perjudian ini adalah salah dan berdosa di sisi agama Islam.
“Jadi, nak cakap mereka jahat sebab kecam saya tidak boleh juga. Malah lebih bersyukur perkara ini terjadi dalam bulan Ramadan. Apa saja kata-kata dan kecaman dari rakyat Malaysia, saya maafkan mereka. Saya tidak akan tegakkan benang basah,” katanya kepada Harian Metro.
Menurut Saif, apa yang berlaku adalah pengajaran terbesar dalam dirinya dan menganggap ia adalah ujian daripada Allah SWT.
“Ini pengajaran terbesar dalam hidup saya. Selepas ini saya akan lebih berhati-hati. Apatah lagi ini pengalaman pertama dan menjadi sejarah dalam hidup.
“Setiap orang ada ujian berbeza. Saya terima ujian ini pada umur 24 tahun. Saya berasa bertuah sebab perkara ini menjadi pengajaran awal untuk saya terus maju dalam bidang lakonan. Tidak semua orang mendapat ujian awal macam saya. Jadi, pada masa hadapan saya sudah tahu apa boleh dan tidak,” katanya.
Terdahulu, Saif bersama lima pelakon lain dalam iklan itu sudah dipanggil bagi membantu siasatan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, di sini, pada 16 April lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd
You must be logged in to post a comment.