Malaysia tidak terjejas keputusan Belgium larang penggunaan minyak sawit


KUALA PILAH – Malaysia tidak terjejas dengan keputusan Belgium menyekat atau melarang penggunaan minyak sawit sebagai bahan api bio di negara itu bermula tahun depan, kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK), Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.

Beliau berkata, ini kerana pasaran kelapa sawit negara masih besar selain terdapat banyak negara lain yang mengimport minyak sawit Malaysia termasuk pemasaran yang aktif di Afrika dan Timur Tengah.

“Baru-baru ini pun Afghanistan ada datang bertemu kita dan meminta untuk memperbesarkan lagi saiz sawit di negara itu, kalau sekarang hanya 75,000 tan serta dijangka akan mencecah 150,000 tan, ertinya kita yakin bahawa pasaran sawit kita masih besar dan tidak akan terjejas.

“Di peringkat serantau, peningkatannya juga semakin ketara, kena ingat bahawa minyak sawit Malaysia adalah premium dan berbeza dengan minyak sawit negara lain,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada pekebun kecil di sini hari ini.

Beliau berkata jumlah nilai eksport agrikomoditi sawit ke Belgium pada tahun lepas berjumlah RM207 juta manakala jumlah nilai eksport ke negara itu setakat Februari lepas adalah sebanyak RM36 juta.

Pada 13 April lepas, media antarabangsa melaporkan Belgium akan melarang penggunaan minyak sawit dan soya bermula 2022 sebagai langkah mengurangkan masalah pembalakan hutan selain bahan api bio daripada minyak sawit tidak lagi dibenarkan sama ada di pasaran negara itu dan dalam sektor pengangkutannya.

Pada masa yang sama, beliau berkata Pejabat Serantau Agrikomoditi Malaysia di Jeddah, Arab Saudi yang merangkumi Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC), Majlis Getah Malaysia (MRC) dan Majlis Kayu Kayan Malaysia (MTC) dijangka beroperasi pada Mei ini.

Mohd Khairuddin berkata, pejabat serantau itu akan dijadikan Hab Komoditi Malaysia untuk memperluaskan pasaran agrikomoditi ke Timur Tengah yang memiliki pasaran luas dan operasi yang sangat besar.

“Sekarang dalam proses menguruskan pejabat dan urusan penempatan pegawai, InsyaAllah pada Mei selepas Aidilfitri kita akan mulakan operasi, tujuannya untuk mengerakkan pemasaran secara agresif di negara berkenaan,” katanya. MG

India boikot minyak sawit Malaysia, Teresa Kok kata “don’t worry”.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker