Azizi Chunk kena serangan strok
KUALA LUMPUR: Pengarah filem 10 Tips Tipu Bini, Azizi Chunk Adnan, 47, masih dirawat di sebuah pusat perubatan di Damansara, di sini, selepas terkena serangan strok, minggu lalu.
Berita itu dikongsi oleh isterinya, Delaila Adnan.
Delaila berkata, suaminya diserang strok hingga sebelah kiri badannya tidak boleh bergerak, baru-baru ini.
“Suami mengadu terlalu penat pada malam sebelum kejadian. Keesokannya, suami sepatutnya memberikan ceramah dalam satu majlis.
“Dia secara tiba-tiba menjadi lemah ketika dalam bilik air. Mujur sempat memanggil saya. Saya juga sempat mencapainya sebelum suami terjatuh ke lantai.
“Apabila badan tidak boleh bergerak beratnya tidak tertanggung untuk dipikulnya. Saya cuba dudukkan suami dan menghubungi anak yang berada di luar.
“Akhirnya, saya terpaksa panggil ambulans dan dikejarkan ke hospital berhampiran dengan rumah,” katanya.
Bagaimanapun, kata Delaila, suaminya kini semakin stabil.
“Keadaan suami semakin baik selepas seminggu ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU). Dia kemudiannya dimasukkan ke wad biasa dan hari ini masuk hari ketiga.
“Tekanan darah tinggi dan kencing manis juga semakin terkawal. Pada awal mendapat serangan stok, mulutnya ‘herot’ dan bercakap pun tidak jelas.
“Sekarang, suami sudah boleh menjamah makanan. Cakap pun sudah okay sikit,” katanya.
Melihat keadaan suaminya sudah semakin stabil, Delaila berkata, dia memohon untuk keluar hospital.
“Mungkin Isnin atau Selasa, minggu depan suami boleh balik ke rumah. Cuma, hospital menyarankan untuk membeli katil khas supaya memudahkan proses penjagaan di rumah,” katanya. BH
Hati-hati… Jangan Ingat Sedap Je, 4 Makanan Ini Pemacu Serangan Angin Ahmar! (Strok)
You must be logged in to post a comment.