KPDNHEP keluarkan notis susulan harga ayam cecah RM10 sekilo



Sebaran :

KUALA LUMPUR: Pihak berkuasa di beberapa negeri kini mula mengambil tindakan tegas susulan kenaikan mendadak harga ayam di pasaran, yang mula dikesan sejak awal bulan Ramadan.

Malah, terdapat juga badan bukan kerajaan yang menggesa pihak berkuasa, agar segera campur tangan kerana kenaikan harga ayam itu membebankan pelbagai pihak.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor mengeluarkan 26 notis terhadap 20 peniaga runcit dan enam pemborong ayam di sekitar pasar awam di bandar raya Johor Bahru, ekoran aduan tentang kenaikan harga ayam.



Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Johor Chong Fat Full berkata, notis berkenaan dikeluarkan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011, menerusi pemeriksaan sejak hari pertama Ramadan.

Sementara itu, Pengarah KPDNHEP Melaka Norena Jaafar ketika dihubungi berkata, setakat ini dua notis dikeluarkan ke atas peniaga dan pengeluar ayam di negeri berkenaan.

“Mereka diberi masa tiga dan lima hari untuk kemukakan dokumen. Sekiranya ada elemen pencatutan, mereka akan dikompaun di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011,” kata beliau.



Tinjauan Bernama di Pasar Besar Melaka mendapati rata-rata ayam dijual pada harga sekitar RM9.50 sekilogram, harga yang dianggap pengguna terlalu mahal.

Seorang peniaga Hamzah Othman, 57, berkata, tidak pernah dalam sejarah 30 tahun berniaga ayam beliau terpaksa menjual dengan harga semahal itu, namun tiada pilihan apabila pembekal sendiri menetapkan harga yang sudah tinggi.

“Ada pembekal kata harga naik sebab penternak terpaksa menanggung harga dedak import yang naik sehingga 40%. Perkara ini bukan sahaja berlaku di sini tapi semua tempat,” katanya.



Pegawai Pendidikan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) NV Subbarow berkata, lonjakan harga, yang turut berlaku di negeri itu, membebankan semua pihak dan tindakan tegas perlu dikenakan terhadap pengedar ayam terlibat.

“Sebelum ini ayam dijual pada harga RM7.50 sekilogram, tetapi sekarang dijual pada harga RM9 hingga RM10 sekilogram, dengan alasan bahawa kenaikan harga makanan ternakan ayam dan perbelanjaan lain,” kata beliau dalam kenyataan.


Sebaran :


One thought on “KPDNHEP keluarkan notis susulan harga ayam cecah RM10 sekilo

  • Undi PH, harga ayam turun, undi Bossku harga ayam naik.. . . LOL

    Reply

Leave a Reply