Rata tanah jumpa tengkorak, tulang manusia

Polis menjalankan siasatan di lokasi kejadian rangka disyaki manusia ditemui. Satu tengkorak ditemukan pemandu jentolak ketika menjalankan kerja-kerja meratakan tanah di sebuah kebun getah. – Foto: ihsan pembaca

KUALA KANGSAR – Satu tengkorak bersama beberapa cebisan tulang berselerak dipercayai manusia ditemui di sebuah kebun getah di kawasan Rimba Kuin, Kampung Talang Hulu di sini pada Khamis.

Rangka itu ditemui kira-kira jam 3 petang ketika seorang lelaki berusia 40 tahun menjalankan kerja-kerja meratakan tanah menggunakan jentolak.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob berkata, siasatan dijalankan sebaik pemandu jentolak terbabit membuat laporan selepas menemui dua tulang serta cebisan kain batik.

“Sepasukan polis bersama Unit Forensik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan.

“Siasatan awal menemui tengkorak, rangka rahang gigi bawah, 28 cebisan tulang dan satu tulang pinggul serta lima potongan kain batik berdekatan,” katanya di sini pada Jumaat.

Menurutnya, siasatan lanjut tidak menemui apa-apa barang kes yang boleh boleh dikaitkan dengan unsur-unsur jenayah.

“Kesemua sampel tersebut dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh untuk bedah siasat.

“Perkembangan kes akan dimaklumkan selepas menerima laporan bedah siasat tersebut. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker