Operasi kedai makan dilanjut sehingga 6 pagi sepanjang Ramadan


KUALA LUMPUR – Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini, bersetuju untuk membenarkan restoran, gerai, warung dan kedai makan beroperasi sehingga jam 6 pagi, iaitu selepas waktu bersahur.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kebenaran waktu operasi itu hanya terpakai sepanjang Ramadan sahaja, selepas itu kembali kepada waktu biasa, jam 12 malam.

Katanya, bagi restoran dan kedai makan yang beroperasi dalam premis kompleks, waktunya tertakluk kepada pasar raya berkenaan, iaitu seperti biasa jam 10 malam.

“Selain melanjutkan waktu operasi sahur, kerajaan juga membenarkan penganjuran majlis berbuka puasa dan bufet Ramadan di hotel dengan SOP yang ketat.

“SOP ialah menjaga penjarakan sosial antara pengunjung yang makan dan SOP kedudukan meja jarak dua meter mesti dipatuhi.

“Untuk majlis berbuka puasa di pejabat dan dalam dewan bagi negeri PKPB, kehadiranya mesti 50 peratus dari keluasan tempat, manakala negeri PKPP mesti mempunyai penjarakan sosial,” katanya pada sidang media harian Covid-19, di sini, hari ini.

Mengenai operasi waktu sahur, Ismail Sabri berkata, kerajaan menerima banyak permohonan daripada peniaga dan rakyat berhubung keperluan membeli makanan untuk bersahur terutama melibatkan warga bujang.

Katanya, selepas mengambil kira semua pandangan dan keperluan orang bujang dan lain-lain yang hendak mendapatkan makanan bersahur, kerajaan bersetuju membenarkan semua kedai makan berniaga sehingga jam 6 pagi. MG

Tips Ruang Solat Di Rumah Sempena Ramadhan

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker