Selesa Tanpa Glamour..”Zaman Glamor Atau Gemilang Sudah Berlalu..”
Sebelum ini, dua sepupu ini cukup dikenali dan gemilang dalam bidang masing-masing yang dianggap glamor serta menjadi tumpuan peminat.
Kini, zaman glamor atau gemilang mereka sudah berlalu dan kedua-duanya menerima hakikat menjalani hidup seperti orang biasa.
Bagaimanapun, tidak dapat tidak, baik Tantiana mahupun Khalid mengakui masih menjadi tumpuan masyarakat sehingga kini.
Tantiana Hamzah dikenali menerusi lakonannya dalam filem Melati Putih, Jejaka Perasan dan Minah Manja.
Manakala, Khalid Jamlus pula dikenali sebagai pemain bola sepak pasukan Perak, Selangor dan Kelantan serta bekas pemain skuad negara.
Tantiana, 56, atau nama sebenarnya Fatimah Hamzah mula berlakon sekitar 1979 dan membuat keputusan meninggalkan pentas seni selepas kematian bapanya.
“Sudah hampir 19 tahun saya berhenti berlakon. Kisahnya bermula apabila saya terbabit dengan penggambaran di Johor Bahru.
“Dalam perjalanan ke sana sebelah paginya, saya dah set dalam kepala untuk buat apa yang perlu. Tapi apabila di set fikiran saya jadi kosong. Saya mula syak sesuatu yang tak kena berlaku.
“Saya hubungi keluarga, tapi tak seorang pun jawab panggilan. Ketika itu memang dah rasa tak sedap hati,” katanya.
Menurutnya, selepas beberapa kali mencuba, adik menjawab panggilan dan memberitahu bapa tenat.
“Saya segera buat keputusan untuk undur diri. Saya pulangkan semula wang bayaran kepada produksi dan mereka terima. Syukurlah mereka memahami.
“Apabila bapa meninggal dunia, saya berhenti berlakon untuk jaga ibu. Namun, Disember lalu, ibu meninggalkan kami buat selama-lamanya.
“Saya bersyukur dapat bersama dan menjaganya hingga saat akhir hayatnya,” kata Tantiana.
Pelakon yang mendapat nama komersial Tantiana daripada Allahyarham pelakon A Rahim ini mengakui tidak pernah menyesal dengan keputusan dibuat.
“Siapa yang tak rindu berlakon. Tapi, rindu itu saya letakkan di tangga kedua kerana lebih dahulukan orang tua kerana mereka tak boleh dijual beli di mana-mana,” katanya yang dipanggil Kak Lang oleh Khalid kerana arwah ibunya, kakak kepada ayah Khalid.
Khalid, 44, pernah menjadi perbualan apabila bertindak menjual kasut emas serta pelbagai barangan peribadi termasuk poster, jersi serta medal yang dimenangi sepanjang kariernya, kini selesa berniaga makanan di Lepak Court, Jalan Klang Banting, Kampung Sijangkang.
Menurutnya, perkara ini tercetus ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang pertama.
“Saya sebenarnya dah menganggur selama tiga tahun. Bukan seperti yang dikatakan sebelum ini di mana saya terjejas selepas kontrak dengan PDRM ditamatkan.
“Sehinggalah tercetusnya PKP, saya berjinak-jinak dengan Facebook dan tengok seorang individu buat live makan.
“Saya tengok sambutan okay dan saya cuba buat dan selepas itu tercetus nak jual barang peribadi sepanjang karier dalam bola sepak semata-mata untuk kelangsungan hidup kerana lama tak bekerja,” katanya.
Dia mengakui terharu kerana pembeli barangan terbabit orang-orang biasa yang sanggup membantunya.
“Pada Oktober tahun lalu ada kelonggaran Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) saya pergi makan di sebuah restoran di Teluk Panglima Garang.
“Saya lalu kawasan ini dan tengok ramai orang. Saya pun masuk dan dapati rupanya medan selera. Ketika makan seorang diri, ada yang menegur.
“Selepas itu, saya jadi rapat dengan seorang peniaga di sini. Tak lama selepas itu, dia beritahu nak berhenti niaga dan tempatnya jadi kosong,” katanya.
Menurutnya, rakan itu bertanya jika dia mahu berniaga di sini, namun dia meminta tempoh untuk fikir.
“Beberapa bulan selepas itu, saya datang semula untuk berbincang. Kalau nak berniaga saya nak buat menu daging salai masak lemak cili api. Itupun makan masa beberapa bulan percubaan untuk dapat citarasa yang sesuai.
“Saya juga rujuk kepada sepupu lain untuk menu terbaik sehingga dapat seperti menu yang dibuat oleh arwah nenek. Ayah berasal dari Negeri Sembilan.
“Kak Lang (Tantiana) juga datang makan dan akui puas hati. Tapi pada dasarnya tiga bulan saya menderita kerana tiada pelanggan. Pernah terjadi hari pertama berniaga tiada pelanggan,” katanya.
Khalid berkata, selepas beberapa hari berniaga, hanya ada seorang pelanggan datang membungkus makanan dan dia tetap bersabar.
“Berkat kesabaran sampai hari ini ada saja pelanggan datang. Saya pun tak jangka sebenarnya akan berniaga kerana ia bukan bidang saya,” katanya.
Selain berniaga, Khalid turut membantu pemasaran tempat ini dengan mempromosikan kepada rakan-rakan.
“Ada stesen tv (televisyen) datang buat liputan dan selepas itu ramai yang datang makan. Bila gerai saya dikenali, ada orang tawarkan saya untuk buka restoran di kawasan elit.
“Dia tawarkan komisen yang berpatutan tapi saya tolak kerana masih belum bersedia,” katanya.-HM
You must be logged in to post a comment.