Ku Li: Menteri Umno dalam kabinet PN ‘kurang prinsip’


Pengerusi Jemaah Penasihat Umno Tengku Razaleigh Hamzah menyifatkan pemimpin-pemimpin Umno yang berada dalam kabinet kerajaan Perikatan Nasional ‘kurang prinsip dan tiada hala tuju’.

Menurut veteran Umno itu, hal tersebut dapat dilihat apabila mereka enggan melepaskan jawatan mereka sebagai menteri apabila parti mendesak mereka untuk berbuat demikian.

“Maaf cakaplah, mereka kurang prinsip dan tiada hala tuju. Mereka hanya mahu memegang jawatan menteri.

“Bila orang tanya saya apa patut ahli Umno buat, saya kata mereka patut letak jawatan dan keluar dari kerajaan ini,” kata Razaleigh lapor The Malaysian Insight (TMI).

Ahli Parlimen Gua Musang itu turut menyentuh mengenai isu mencalonkan menteri yang enggan meletakkan jawatan mereka pada PRU15.

Menurutnya, dia tidak pasti bagaimana pimpinan parti akan mengendalikan perkara itu.

Pun begitu, dia melihat menteri Umno tidak menunjukkan kesetiaan yang diharapkan parti.

“Saya fikir mereka (menteri Umno) tidak menunjukkan disiplin. Mereka tidak menunjukkan kesetiaan yang sempurna.

“Jadi kalau saya, mereka akan dikeluarkan dan tidak mahu mereka kembali,” katanya sambil memberi kata dua kepada menteri Umno yang ingin berdepan dengan PRU15 nanti.

“Mereka diberikan kerja dan mereka mahu terus kekal di situ. Ada antara mereka fikir lebih baik jadi menteri daripada tidak ada apa-apa.

“Bukan mereka saja yang akan kalah. Kita (Umno) pun akan jatuh sama,” katanya lagi, lapor TMI.

Untuk rekod, sejurus selepas PAU2020 mengesahkan keputusan majlis tertinggi (MT) Umno untuk menamatkan sebarang kerjasama dengan Bersatu, Razaleigh berkata, sepatutnya semua ahli parti yang memegang jawatan dalam kabinet, kerajaan atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC) perlu tarik diri secepat mungkin. Mk

Tak mustahil Umno boleh bekerjasama dengan PH – Ku Li

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker