Faizal: Ahli Bersatu tak perlu runsing ejekan ‘parti setahun jagung’

Sebaran :

 

Usia parti Bersatu tidak relevan apabila kehadiran dan kemampuan parti itu kini dapat dirasai serta diterima oleh rakyat di segenap pelusuk negara, kata Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Beliau berkata dalam zaman politik baharu masa ini, istilah ‘parti politik yang baharu setahun jagung tidak boleh menjadi pemimpin’ adalah tidak tepat apabila sesebuah parti mampu memberikan khidmat terbaik untuk rakyat.

Justeru, pemimpin serta ahli Bersatu seluruh negara tidak perlu gusar atau runsing dengan ejekan ‘parti setahun jagung’ sebaliknya terus menjalankan amanah yang diberikan rakyat bagi membela nasib mereka.

“Peribahasa yang mengatakan usia hanya sekadar angka adalah benar apabila parti anda berada dalam keadaan yakin dan berani, usia dalam parti politik sudah tidak lagi relevan,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam dan Ulang Tahun Ke-2 Bersatu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah malam ini.



Turut hadir dua Naib Presiden Bersatu iaitu Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dan Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen, Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainudin serta Ketua Badan Pimpinan Parti Bersatu Sabah Datuk Hajiji Noor, juga Ketua Menteri Sabah.

Lindungi hak pengundi majoriti

Pendaftaran Bersatu diluluskan oleh Jabatan Pendaftar Pertubuhan pada 8 Sept 2018 dan bertapak secara rasmi di Sabah pada 6 April 2019.

Ahmad Faizal juga berkata dalam usia hanya dua tahun, Bersatu Sabah mampu menjadi Badan Pimpinan terbaik di negara ini dan mampu meletakkan pemimpinnya sebagai Ketua Menteri dengan kerjasama rakan politik parti itu.

Beliau berkata kejayaan itu tidak berlaku secara tiba-tiba malah dapat dicapai hasil kerja keras dan budaya politik yang mementingkan kejujuran serta ketelusan dalam membentuk kerjasama politik.



“GRS (Gabungan Rakyat Sabah) sebuah formula politik cukup berkesan dan kerjasama ikhlas ini dapat menjadi medan pertemuan membentuk Kerajaan Negeri Sabah yang penuh berwibawa,” katanya.

– Bernama

 

Muafakat Nasional Retak Disebabkan Kelemahan Zahid, Berdolak-dalik Terhadap Segala Ketetapan Parti – Nazri Aziz


Sebaran :

Leave a Reply