Tiada ‘bukti kukuh’ penerima 2 dos vaksin selamat lakukan perjalanan, kata menteri


PETALING JAYA: Tiada “bukti kukuh” mereka yang sudah diberi suntikan vaksin Covid-19 sepenuhnya, selamat untuk melakukan perjalanan antara negeri dan antarabangsa.

Menteri Kesihatan Dr Adham Baba berkata, pasukannya masih mengkaji laporan oleh Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit AS serta Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengenai kebenaran bagi mereka yang sudah diberi vaksin untuk melakukan perjalanan.

Beliau berkata, mesyuarat khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan memutuskan perkara itu.

Menurut Adham, mereka yang telah menerima kedua-dua dos vaksin Pfizer-BioNTech terdiri daripada anggota barisan hadapan yang sudah mempunyai kebenaran untuk melakukan perjalanan antara negeri.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sebelum ini menyarankan rakyat yang sudah diberi vaksin sepenuhnya diberi “lampu hijau” untuk merentas sempadan domestik dan antarabangsa, dengan syarat mereka mendapat surat kebenaran untuk bertindak sebagai pasport imuniti.

Sementara itu, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin berkata, perbincangan akan diadakan dengan Kementerian Sumber Manusia bagi membolehkan syarikat memberi pekerja asing mereka beberapa tempoh untuk menghadiri temu janji vaksinasi.

“Kami akan menyarankan atau mewajibkan syarikat memberi pekerja mereka cuti sehari untuk menerima vaksin,” kata Khairy.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker