Mesyuarat BN batal tapi tiada penjelasan
Mesyuarat dewan tertinggi BN yang dijadualkan berlangsung malam ini dibatalkan tanpa penjelasan, menurut satu laporan.
Laporan Astro Awani berkata pembatalan itu diberitahu melalui pesanan WhatsApp malam ini daripada bahagian komunikasi BN.
Bagaimanapun, ia mengatakan tidak ada penjelasan atau alasan yang ditawarkan untuk pembatalan tersebut.
Ketika dihubungi sebelum ini, Timbalan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Arthur Joseph Kurup memberitahu Malaysiakini bahawa dia masih menunggu pemberitahuan rasmi mengenai pertemuan itu.
Sementara itu, Malaysiakini juga bertanyakan Presiden MIC SA Vigneswaran mengenai pertemuan itu.
“Saya tidak tahu. Saya berasa tidak sihat.
“Izinkan saya bercakap dengan mereka terlebih dahulu,” jawabnya ketika diberitahu ketika MCA telah membayangkan akan hadir.
“Biarkan saya bercakap dengan MCA kerana ada beberapa pindaan (agenda). Saya ingin bercakap dengan pengerusi (BN) terlebih dahulu,” katanya kepada Malaysiakini.
Sumber MCA yang pada awalnya memberitahu Malaysiakini bahawa parti itu akan menghadiri mesyuarat kemudian mengubah kenyataannya, sekali lagi tanpa penjelasan.
Sementara itu, pada awal malam, Astro Awani membuat laporan berasingan yang memetik pemimpin parti komponen kanan BN yang tidak disebutkan namanya yang mengatakan pertemuan itu mungkin akan dibatalkan kerana beberapa pemimpin parti komponen tidak akan hadir mesyuarat tersebut.
Laporan itu mengatakan tindakan berkenaan dibuat atas dasar rasa hormat (courtesy) dan bukan kerana tidak cukup kuorum untuk mesyuarat tersebut.
“Ini masih lagi spekulatif. Ia bukan isu korum. Korum mungkin cukup. Tetapi ia lebih kepada rasa hormat (courtesy) dalam kalangan komponen.
“Kita mahukan semua parti berada bersama dalam mesyuarat BN,” kata sumber tersebut.
Pemimpin tertinggi BN pada awalnya diharapkan dapat bertentang mata membincangkan ketidakpastian kedudukan gabungan itu pada pilihan raya akan datang.
Ini selepas Umno memutuskan mengakhiri dengan Bersatu sebaik sahaja pilihan raya bemula, manakala MIC berpendirian sebaliknya. Mk
Mesyuarat Dewan Tertinggi BN batal? Ada parti tidak dapat hadir – Sumber