[VIDEO] Mega dan megah… Jokowi kongsi cadangan reka bentuk ibu negara baharu Indonesia di Kalimantan


PROJEK pemindahan ibu negara Indonesia dari Jakarta ke lokasi strategik di Kalimantan terus menjadi perbualan hangat di negara seberang.

Terbaru, Presiden Indonesia Joko Widodo atau Jokowi memuat naik video ilustrasi berdurasi 2 minit yang menunjukkan antara ilham awal bagi perancangan bandar dan reka bentuk bangunan di lokasi baharu, dipercayai di Penajam Paser Utara itu.

“Tahun lalu, Kementerian Pekerjaan Umum dan Perumahan Rakyat (PUPR) telah mengundang beberapa arkitek dan seniman untuk memberikan input dan gagasan mengenai bangunan ikonik di ibu kota negara yang baru.

“Salah satunya adalah pra-reka bentuk Istana Negara karya seniman ternama Nyoman Nuarta ini. Cadangan beliau sarat dengan falsafah lambang burung garuda sebagai pemersatu bangsa sesuai semboyan Bhinneka Tunggal Ika (moto kebangsaan Indonesia),” ujar Jokowi dalam kapsyennya.

Jelas Jokowi, ilustrasi itu masih dalam tahap pra-reka bentuk sekali gus terus mengajak komentar dan input dari seluruh rakyatnya.

“Saya menginginkan Istana Negara tidak hanya dikenang sebagai tempat Presiden bekerja atau menjadi simbol kebanggaan bangsa, tapi juga mencerminkan kemajuan bangsa,” katanya.

Begitupun, video yang dimuat naik hingga menarik lebih 2.5 juta komen itu menerima pelbagai maklum balas daripada rakyat republik itu.

Ramai yang menyampaikan rasa kagum dengan inisiatif berkenaan termasuk membandingkannya dengan kota kosmopolitan Singapura dan juga pusat pentadbiran Malaysia iaitu Putrajaya.

“Rasa ingin segera berpindah dari Jakarta, ke Kalimantan. Tak sabar,” komen seorang pengikut Instagram Jokowi.
“Ini sudah hebat. Tinggal direalisasi sahaja. Semoga pembangunan cepat selesai,” komen Eko Prasetyo, yang turut teruja.

“Bangsa yang kaya warisan budaya dan alam tropika. Teknologi atau modenisasi adalah seiring tanggungjawab menyelaraskan semuanya sehingga ia menjadi unik. Ini (kota) ikonik masa depan. Indonesia masa depan,” ujar seorang lagi pengikut Jokowi di akaun media sosial itu.

Selain daripada pujian tentang impian memiliki kota pentadbiran yang futuristik dan megah, ada juga yang menzahirkan kebimbangan tentang beberapa aspek seperti kemampuan memacu pembangunan, isu tanggungan hutang negara, kebajikan rakyat pinggiran dan juga ancaman amalan rasuah.

Namun, antara isu yang paling banyak diutarakan adalah daripada rakyat yang sangat mencintai khazanah hutan dan hidupan liar. Rata-ratanya mengharapkan projek mega itu tidak meminggirkan kepentingan kelestarian alam sekitar.

“Jika sudah memang keputusan untuk berpindah, terserah mahu dibuat reka bentuk yang bagaimana pun, Pak. Yang penting jangan hilangkan fungsi hutan sebagai paru-paru dunia, terutama di daerah Kalimantan,” komen seorang pengguna, Bachtiar Rachman Saputro.

“Bagaimana pula dengan kekayaan hutan yang terpaksa diteroka dan hidupan liar yang menjadi korban sepanjang pembangunan ibu kota baru ini,” tanya seorang lagi. Awani

Ibu negara baharu…Jokowi masuk gear lima!

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker