Ibu negara baharu…Jokowi masuk gear lima!

Share

By Syahril A. Kadir

SAYA perhatikan saja bagaimana Presiden ‘kurus’ Indonesia yang juga peminat setia kumpulan rock Metallica ini, Joko Widodo atau Jokowi, memacu negaranya sebaik sahaja memenangi pilihan raya Presiden tempoh hari.

Walaupun ada 1,001 masalah di negara yang mempunyai penduduk hampir 264 juta orang itu, pelbagai agama, budaya dan etnik, Jokowi nampaknya terus fokus untuk meningkatkan ekonomi rakyat dan negaranya ke tahap ‘gila-gila!’

Dan antara benda yang Jokowi tak sabar nak buat adalah membina ibu negara baharu Indonesia yang jauh dari tempat sekarang Jakarta iaitu di Kalimantan Timur, lebih spesifik sebahagian di daerah Penajam Paser Utara dan sebahagian Kutai Kartanegara.

Nak tahu berapa kosnya…AS$33 bilion! Nak tahu berapa luas? 250,000 hektar! Untuk rekod, Jakarta hanya kira-kira 60,000 hektar.

Jokowi dan pasukannya mengambil masa lebih tiga tahun membuat kajian sebelum mengambil keputusan nekad memilih tempat berkenaan.

Hendak tahu antara fakta menarik mengapa Jokowi pilih lokasi tersebut?

Pertama, ia terletak di tengah-tengah Indonesia.

Kedua, ia bebas dari bencana alam besar seperti gempa bumi, tsunami, tanah runtuh, banjir dan kebakaran hutan.

Ketiga, lokasi tersebut sudah pun mempunyai dua bandar maju iaitu Samarinda dan Balikpapan dan sudah pun ada lapangan terbang antarabangsa di kedua-duanya.

Paling menarik, Jokowi mahu 70 peratus kelestarian alam di situ dikekalkan.

Baik apa jadi kalau ibu negara ini siap? Seramai 1.5 juta orang merangkumi pegawai kerajaan, keluarga mereka dan pekerja industri sokongan akan berpindah ke sana bila segala pembinaan infrastukturnya beres dalam empat ke lima tahun lagi.

Bagaimana impak perpindahan ibu kota ini kepada Malaysia kerana Sabah dan Sarawak berkongsi pulau yang sama iaitu Pulau Borneo?

Ramai pakar dan penganalisis berbeza pendapat sebenarnya.

Daripada segi pertahanan, ada yang berpendapat ia bagus untuk kita kerana secara langsung pasti Jakarta akan memperuntukkan belanja yang besar bagi memastikan keselamatan ibu negara barunya itu.

Secara tak langsung manfaatnya dapat ‘dinikmati’ negara khususnya dengan ancaman keselamatan yang sering kita hadapi di Sabah.

Daripada segi ekonomi dan pelancongan juga begitu. Sarawak dan Sabah pasti akan mendapat limpahan daripada pembangunan di wilayah Kalimantan.

Namun bak kata pepatah Inggeris, ‘there are two sides of the same coin’.

Pasti akan ada baik dan buruknya pada kita negara tetangga.

Namun apa pun ceritanya, Jokowi sudah masuk ‘gear lima’.

Kita sendiri tahu, dalam usaha untuk mendapatkan sokongan kewangan bagi membangunkan negaranya, Jokowi semakin aktif ‘terbang’ ke luar negara.

Terbaru bagaimana beliau dapat memujuk Emiriyah Arab Bersatu (UAE) menyediakan $22.8 bilion (RM93 bilion) untuk dilaburkan di Indonesia melalui dana berdaulat yang dibangunkan bersama SoftBank dan United States International Development Finance Corporation.

Sekaligus Jokowi ‘membodek’ untuk melantik Putera Mahkota Abu Dhabi, Sheikh Mohammad bin Zayed menjadi seorang daripada ahli jawatankuasa ibu negara baharu mereka. Nampak tak?

Kesimpulannya di sini, suka atau tidak, Jokowi telah berjaya dalam misinya untuk membalas kepercayaan rakyat Indonesia memilihnya sebagai Presiden walaupun mendapat tentangan sengit sewaktu pemilihan tempoh hari.

Jalan-Perbatasan-Kalimantan-735×400
Kita pula bagaimana?

Dahulu Tun Dr. Mahathir Mohamad juga telah melakukan tindakan yang serupa apabila mengilhamkan dan seterusnya merealisasikan Putrajaya.

Kini rakyat menunggu apa pula yang boleh dibuat oleh kerajaan Pakatan Harapan setelah diberikan kepercayaan untuk mengambil alih tampuk pentadbiran serta pemerintahan negara

Dan waktu pun terus berjalan…

MGazette

Jokowi jadikan Putera Mahkota Abu Dhabi sebagai sumber, Malaysia pula dedahkan perbualan putera tersebut kepada seluruh dunia.Kalau Jokowi masuk gear 5, Malaysia pula masuk gear ‘gostan” Bursa saham Indonesia pula bursa terbaik Asean. Cukup memalukan Malaysia sekarang.

Leave a Reply