‘Sepatutnya jumpa kepemimpinan tertinggi parti’- Tok Mat

Sebaran :

Menteri-menteri dan timbalan menteri dalam kalangan ahli Parlimen UMNO sepatutnya bertemu dengan kepemimpinan tertinggi parti terlebih dahulu bagi mendapatkan pandangan berhubung kedudukan mereka dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, membuat keputusan tanpa mendapat panduan daripada kepemimpinan parti dilihat sebagai kepincangan dalam kebijaksanaan.

“Sepatutnya penjawat-penjawat dalam kerajaan, baik menteri, timbalan menteri atau lain-lain mereka sepatutnya jumpa kepemimpinan tertinggi parti untuk mendapatkan hala tuju ataupun panduan untuk mereka masih mahu dalam kerajaan ataupun tidak.

“Perkara itu saya lihat ada kepincangan dari segi kebijaksanaan, datang dan jumpa kami (untuk) dapatkan panduan, hala tuju, bagaimana pandangan dan nasihat parti, kita akan beritahu elok-elok,” katanya.

Mohamad yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Sembilan berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri program Isi Minyak Percuma dan Santai Anak Muda serta Kempen Mari Daftar Vaksin Bersama Tok Mat anjuran Pemuda UMNO Bahagian Seremban di Sikamat di sini hari ini.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini berkata, semua menteri daripada UMNO akan terus kekal dalam Kabinet kerajaan PN selepas kesepakatan itu dicapai dalam pertemuannya dengan menteri-menteri terlibat yang meminta nasihat berhubung kedudukan mereka.

Ia selepas perwakilan parti yang menghadiri Perhimpunan Agung UMNO 2020 minggu lalu bersetuju sebulat suara terhadap usul memutuskan kerjasama politik dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang menerajui kerajaan PN ketika ini.

Dalam pada itu, ketika berucap dalam isu yang sama dalam program berkenaan, Mohamad berkata, walaupun Perhimpunan Agung UMNO sudah membuat keputusan, tidak semestinya menteri-menteri berkenaan perlu meletakkan jawatan pada hari yang sama.

“Kita tidak suruh pun menteri letak jawatan pada hari yang sama, kalau ya pun nak letak jawatan, jumpa kepemimpinan parti, jumpa saya sekurang-kurangnya, tanya apa pandangan saya. Saya akan nasihatkan dahulu yang sebetulnya, tunggu dulu arahan parti, arahan parti kita buat dalam mesyuarat Majlis Tertinggi boleh jadi dua minggu daripada sekarang.

“Kita akan bincang berkenaan kedudukan menteri, timbalan menteri dan juga pengerusi GLC yang diwakili oleh UMNO, di situ nanti kita buat keputusan, bukankah begitu caranya,” katanya.

Tambah Mohamad, sudah jelas dalam Perhimpunan Agung UMNO yang memberikan kuasa kepada Majlis Kerja Tertinggi dalam mesyuaratnya nanti untuk membincangkan baik buruk terutama kedudukan ahli parti dalam kerajaan ketika ini.

Kepemimpinan UMNO beri sokongan kepada presiden parti


Sebaran :

Leave a Reply