Pemilihan akan datangkan perpecahan, ‘cederakan’ parti – Tok Mat — MYKMU.NET

Pemilihan akan datangkan perpecahan, ‘cederakan’ parti – Tok Mat



Sebaran :

Pemilihan UMNO hanya akan mendatangkan perpecahan dan ‘kecederaan’ kepada parti ketika fokus UMNO ketika ini adalah untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Jelas Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, tidak boleh dinafikan, pemilihan parti untuk segera dilakukan ketika ini akan membawa keburukan dan ia seolah-olah memberi ‘peluru’ kepada pihak lawan.

“Dari segi pengurusan parti, kita ada garis masa, kita tidak pula kata mahu tangguh sampai 18 bulan, itu sebabnya kita ikut turutan parti bahawa kita nak lihat pilihan raya umum diadakan pada Ogos ini.



“Jadi kita tunggulah sampai pilihan raya umum, tidak usah menafikan, kalau ada pemilihan mesti ada perpecahan, mesti ada. Mengapa kita perlu beri peluru kepada orang, kepada musuh untuk tembak kita,” katanya.

MOHAMAD Hasan mengisikan minyak seorang penunggang motosikal selepas menghadiri program Isi Minyak Percuma dan Santai Anak Muda serta Kempen Mari Daftar Vaksin Bersama Tok Mat anjuran Pemuda UMNO Bahagian Seremban di Sikamat, Seremban. – UTUSAN/MUHAMMAD IZZAT TERMIZIE

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri program Isi Minyak Percuma dan Santai Anak Muda serta Kempen Mari Daftar Vaksin Bersama Tok Mat anjuran Pemuda UMNO Bahagian Seremban di Sikamat di sini hari ini.



Menurut beliau, penangguhan pemilihan parti bukanlah sehingga tempoh 18 bulan walaupun perkara itu dibenarkan dalam Perlembagaan UMNO.

Malah tambah Mohamad, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi juga sudah menyatakan, pemilihan UMNO boleh dijalankan pada tahun ini.

“Kita tidak akan tunggu sampai 18 bulan, Presiden sudah kata, pemilihan akan dibuat pada tahun ini, jadi garis masa kita, kalau tidak ada pilihan raya sampai Ogos maka kita akan memulakan untuk buat mesyuarat cawangan dan bahagian dalam tahun yang sama, tahun ini.



“Boleh jadi kita buat mesyuarat-mesyuarat cawangan bulan September dan ada pemilihan peringkat cawangan dan dua bulan tiga bulan kemudian kita buat mesyuarat di peringkat bahagian pula, boleh jadi Disember,” katanya.

Dalam pada itu, jelas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau itu, pemilihan parti ketika pandemik Covid-19 dan negara masih perlu mengikuti prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) juga sesuatu yang sukar.

“Saya berpandangan dalam keadaan darurat dan Covid-19 ini memang susah kita nak adakan mesyuarat cawangan-cawangan, kerana mesyuarat pada kali ini adalah merupakan mesyuarat yang ada pemilihan. Bila ada pemilihan, kita tidak boleh halang ahli daripada datang tapi selagi kita dalam keadaan PKPB, kita tidak boleh untuk menjemput semua perwakilan hadir disebabkan oleh penjagaan SOP dan lain-lain.



“Mereka yang boleh hadir mesti hadir, kita tidak boleh kata tidak boleh hadir, (kena) ikut SOP tidak boleh, ikut kapasiti dewan sahaja itu tidak boleh, kerana dalam pemilihan, siapa yang layak jadi ahli boleh hadir dan mereka mempunyai kelayakan untuk mengundi pemimpin yang mereka mahukan, bagaimana harus kita buat? Itu nanti Majlis Tertinggi (MT) akan putuskan,” katanya.

Sementara itu, ditanya sama ada beliau akan mempertahankan jawatannya dalam UMNO apabila pemilihan parti diadakan, Mohamad memaklumkan keutamannya ketika ini adalah untuk menghadapi PRU-15.

“Itu keutamaan saya buat masa sekarang, saya mahu supaya parti menang, Barisan Nasional (BN) menang dalam PRU-15 dan menubuhkan kerajaan yang kuat dan stabil.



“Kita menang pilihan raya umum dahulu, kalau kalah tidak mengapalah, kita beri orang lain untuk uruskan parti,” katanya.-UM

Tangguh Pemilihan Untuk Tujuan Baik, Tak Salah


Sebaran :


Leave a Reply