Mahkamah batal perintah penahanan kerana nama ‘glamor’ Muhyiddin


Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini membatalkan perintah penahanan yang ditandatangani Muhyiddin Yassin tahun lalu yang ketika itu merupakan menteri dalam negeri.

Ini kerana menteri berkenaan menandatanganinya menggunakan “nama glamor” Muhyiddin Mohd Yassin dan bukannya nama dalam kad pengenalan (MyKad), Mahiaddin Md Yasin.

Peguam Danial Amir Hamzah berkata, pesuruhjaya kehakiman Norsharidah Awang hari ini membenarkan permohonan habeas corpus oleh Sabahan Awang Sari Lasikan.

Danial hadir bersama peguam, Zafran Zafri Mohd Zaini mewakili Awang – seorang pekerja am yang ditahan di bawah perintah yang ditandatangani Muhyiddin pada 10 Mac tahun lalu.

Sabahan telah dibebaskan daripada tahanan, manakala Muhyiddin kini merupakan perdana menteri Malaysia.

Peguam hari ini berkata Mahkamah Tinggi setuju dengan hujah mereka bahawa Muhyiddin seharusnya tidak menandatangani perintah penahanan dengan nama “glamor” Muhyiddin, sebaliknya perlu menggunakan nama dalam MyKad.

“Ketika (Perikatan Nasional) mengambil alih kerajaan baru Mac tahun lalu, masih belum ada kabinet dan Muhyiddin selain menjadi Perdana Menteri, juga menjalankan tugas sebagai menteri dalam negeri.

“Di antara tugas yang dilakukannya adalah menandatangani perintah penahanan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985, yang termasuk menandatangani perintah itu terhadap anak guam saya pada 9 Mac 2020.

“Kami kemudian ke Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk mencabar keabsahan perintah penahanan itu kerana tidak ditandatangani sesuai dengan nama Muhyiddin seperti yang dinyatakan dalam warta kerajaan.

“Di bawah Akta Fungsi-fungsi Menteri 1969, nama yang dinyatakan dalam warta adalah Mahiaddin Md Yasin, iaitu nama dalam MyKad-nya.

“Hari ini Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa setiap keputusan eksekutif atau tindakan yang diambil oleh Perdana Menteri atau menteri harus menggunakan nama tersebut dalam warta, iaitu nama dalam MyKad dan bukan nama glamor.

“Perintah penahanan ditandatangani dengan nama Muhyiddin dan bukan Mahiaddin. Oleh itu mahkamah membenarkan permohonan habeas corpus kami, ”kata Danial.

Peguam itu menjelaskan bahawa keputusan hari ini berpotensi membuka ruang kepada permohonan habeas corpus yang serupa.

Ini kerana katanya, terdapat beberapa tahanan lain yang ditahan di bawah perintah penahanan yang ditandatangani Muhyiddin ketika dia menjalankan tugas sebagai menteri dalam negeri.

Menurut salinan hujah peguam Awang yang dilihat Malaysiakini, mereka berpendapat bahawa perintah penahanan itu tidak sah kerana dikeluarkan dan ditandatangani dengan nama (Muhyiddin) yang tidak sah menurut undang-undang seperti yang ditetapkan Akta Fungsi-fungsi Menteri dan Akta Dadah Berbahaya (Akta Langkah Pencegahan Khas).

Mereka berhujah bahawa walaupun warta menyatakan individu yang menjalankan tugas menteri dalam negeri ketika itu ialah Mahiaddin Md Yasin, namun perintah penahanan ditandatangani oleh Muhyiddin Mohd Yassin.

Peguam Persekutuan Muhamad Safuan Azhar mewakili dua responden iaitu timbalan menteri dalam negeri dan penguasa kanan Pusat Pemulihan Akhlak Simpang Renggam. Mk

Dakwaan projek RM450j rundingan terus: Bukan saya tandatangan surat – Lim

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker