PPBM buat pusingan-U sokong kerajaan Johor pimpinan Umno
PUTRAJAYA: PPBM akan terus menyokong Menteri Besar Johor, Hasni Mohammad, yang sekali gus mengekalkan status quo kerajaan negeri pimpinan Umno itu.
Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat PPBM dan Perikatan Nasional (PN) Johor yang dipengerusikan Muhyiddin Yassin di sebuah hotel petang tadi.
Muhyiddin yang juga presiden PPBM dan pengerusi PN Johor berkata, keputusan itu dibuat kerana memikirkan kebajikan rakyat Johor dan kesan terhadap negara.
“Setakat hari ini, kita tidak buat sebarang keputusan tarik sokongan kepada kerajaan Johor pimpinan Umno.
“Di peringkat nasional, saya putuskan menteri dan timbalan menteri Umno terus kekal bersama kerajaan.
“Untuk Johor, kita akan terus kekal sokongan kepada kerajaan negeri dipimpin Umno,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat itu.
Sebelum ini, Hasni memberi bayangan Umno Johor tidak akan meneruskan kerjasama dengan PPBM pada pilihan raya umum ke-15, susulan keputusan Perhimpunan Agung Umno 2020 pada Ahad lalu.
Berikutan itu, Muhyiddin yang juga perdana menteri berkata, beliau meletakkan harapan tinggi semua pihak turut berlaku adil kepada PPBM.
“Harapan kita, berlaku adillah kepada PPBM kerana ada rungutan mengenai pembahagian jawatan ketua kampung yang tidak dirundingkan secara adil.
“Bagaimanapun, untuk menjaga kemaslahatan masyarakat di Johor, maka kita akan terus kekal bersama sehingga PRU15.”
Terdahulu, Muhyiddin berkata, mesyuarat PPBM Johor kesal dengan keputusan PAU2020 pada Ahad lalu.
Aneh bila PM pujuk menteri UMNO kekal dalam Kabinet – Anwar Ibrahim
Setia kawan
Muhyiddin berkata, komitmen PAS untuk terus bersama PPBM membuktikan semangat setia kawan tinggi yang akan membantu PN merangka hala tuju jelas, termasuk persiapan menghadapi PRU15.
“Kita bertekad, apa pun situasi, kita akan bersama-sama.”
Walaupun mempunyai kemelut dengan Umno, katanya, PPBM akan memfokuskan persiapan bagi menghadapi PRU15, dengan agihan kerusi Parlimen menjadi agenda utama PN.
“Apa pun yang berlaku, itu soal Umno, tetapi dari sudut kerjasama PPBM dan PAS, hala tuju jelas dengan terbentuknya jawatankuasa permesyuaratan di peringkat pusat bagi merangka strategi parti, khususnya menghadapi PRU15, termasuk rundingan pengagihan kerusi.”
Beliau berkata, PN Johor turut membincangkan penyelesaian struktur pembahagian kerusi di Parlimen negeri itu.
“Struktur pembahagian kerusi dirunding bagi mengenal pasti sama ada PPBM, PAS atau Gerakan yang akan mengetuai. Tetapi, keputusan muktamad akan dibuat pimpinan di peringkat nasional.”
You must be logged in to post a comment.