Aneh bila PM pujuk menteri UMNO kekal dalam Kabinet – Anwar Ibrahim

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pelik melihat tindakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memujuk menteri daripada UMNO untuk tidak meletakkan jawatan menteri.

Menurut beliau, adalah sesuatu yang aneh apabila Perdana Menteri daripada parti yang lain memujuk menteri yang juga dari parti lain untuk tidak meninggalkan barisan Kabinet.

Jelasnya, walaupun mereka tidak melepaskan jawatan, namun itu tidak mengubah hakikat bahawa kerajaan sekarang hilang keabsahan dan dokongan.



“Saudara Kit Siang (veteran DAP, Lim Kit Siang) sebut bahawa menteri-menteri, Perdana Menteri pujuk jangan tinggalkan (kerajaan). Itu perkara aneh, parti lain pula yang pujuk.

“Tapi tidak mengapalah, itu soal dia namun tanpa itu pun (letak jawatan), keabsahan kerajaan masih menjadi tanda tanya.

“Itu yang menyebabkan orang tak berani datang. Kemudian tiada fokus pada pelaburan, keyakinan (pelabur) semua tiada,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melawat Teater Impian, galeri yang memaparkan sejarah Penasihat DAP, Lim Kit Siang di sini pada Rabu.



Turut hadir, Kit Siang, Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Kebangsaan, Howard Lee Chuan How dan Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran.

Muhyiddin pada Rabu mempengerusikan mesyuarat Kabinet di Putrajaya yang turut dihadiri Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Yaakob dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Begitupun, agenda mesyuarat masih belum dapat dipastikan memandangkan tiada kenyataan rasmi berkaitan dikeluarkan setakat ini.

Berdasarkan perkongsian di Facebook beliau hari ini, beberapa menteri dari parti UMNO dilihat turut hadir dalam mesyuarat berkenaan termasuk Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa.



Terdahulu, Muhyiddin memaklumkan dalam satu kenyataan, semua menteri daripada UMNO sepakat untuk terus kekal dalam kabinet kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Kata Perdana Menteri, keputusan itu dicapai selepas pertemuan beliau dengan para menteri berkenaan pada Isnin.

Menteri UMNO sepakat kekalkan Kabinet: Muhyiddin



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker