Tun Faisal serah surat rayuan kepada Zahid esok


Timbalan Ketua Bahagian Putrajaya, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz akan mengemukakan sendiri surat rayuan terhadap penggantungan keahliannya kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi esok.

Tun Faisal berkata, belia akan ke Pejabat Presiden UMNO di PWTC untuk menyampaikan sendiri surat rayuan itu.

“Saya telah memaklumkan perkara ini kepada Datuk Sumali, SUK (Setiausaha Kerja) UMNO dan berharap dapat menyerahkan surat ini sendiri kepada Presiden,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau yang juga Setiausaha Akhbar kepada Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa telah digantung keahliannya pada Sabtu lalu.

Beliau sebelum ini menyifatkan penggantungan keahliannya selama enam tahun adalah pelik dan menimbulkan banyak spekulasi.

Tun Faisal dalam kenyataannya mendakwa tindakan yang dihadapinya itu adalah satu kekhilafan dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO tidak diberikan gambaran sebenar mengenai fakta kes beliau.

“Mereka tidak diberikan kesempatan untuk membaca dan meneliti hujah-hujah pembelaan saya, serta hanya bergantung kepada kesimpulan yang diberikan oleh Lembaga Disiplin.

“Anggota MKT hanya diminta mengesahkan laporan yang diberikan dan dibentangkan di dalam mesyuarat MKT yang lepas.

“Semoga kali ini MKT akan dapat benar-benar membaca dan meneliti hujah-hujah pembelaan yang saya sampaikan dan mempertimbangkan rayuan saya,” katanya lagi.

Tun Faisal sebelum ini telah diarahkan mengemukakan surat jawapan balas kepada Lembaga Disiplin UMNO.

Arahan tersebut berhubung kenyataan terbukanya yang dilihat menentang presiden parti. MG

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker