Anwar Ibrahim seperti Nelson Mandela - Afdlin Shauki — MYKMU.NET

Anwar Ibrahim seperti Nelson Mandela – Afdlin Shauki



Sebaran :


Lima kali bertemu Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi mendengar sendiri falsafah perjuangan politik Presiden PKR itu, akhirnya menemukan Datuk Afdlin Shauki pada jawapan kenapa beliau harus memilih untuk bersama-sama parti berkenaan dalam langkah politiknya.

PKR, kata Afdlin, misi parti itu, seiring dengan kecintaan beliau pada kerja-kerja kemasyarakatan.

Mendampingi rakyat, menyantuni golongan tidak berkemampuan dan membantu mengubah nasib golongan yang memerlukan adalah kerja-kerja yang sering dilakukan Afdlin selama ini di bawah payung pertubuhan bukan kerajaan (NGO).



Justeru, melihat ketekunan Anwar dan PKR meletakkan kebajikan rakyat pelbagai kaum sebagai keutamaaan dalam perjuangan menyebabkan seniman itu membulatkan tekad untuk berada dalam platform yang sama.

Dalam masa sama, Afdlin, 50, juga mengagumi semangat perjuangan Anwar yang juga Ketua Pembangkang.

Kata Afdlin, segala kepayahan yang dilalui Anwar sepanjang beberapa dekad dalam gelanggang politik benar-benar menyentuh hatinya.
“Perjuangan Datuk Seri Anwar dari kaca mata saya seperti mana yang dilalui Nelson Mandela. Seperti mana Nelson Mandela melalui kepayahan sehingga dipenjara, demikian juga dengan Datuk Seri Anwar.



“Saya kagum dengan ketabahan dan kesabaran beliau,” kata Afdlin dalam wawancara bersama Astro AWANI.

Mandela yang meninggal dunia pada usia 95 tahun pada 2013 merupakan bekas Presiden Afrika Selatan
yang mengetuai peralihan pentadbiran negara itu daripada minoriti kulit putih pada awal 90-an selepas 27 tahun dipenjara.

Afdlin yang menempa kemasyhuran sebagai pelakon, pengarah, penyanyi dan penerbit pada Selasa mengesahkan kepada Astro AWANI memilih PKR sebagai wadah politiknya.



Penyertaan Afdlin akan diumumkan secara rasmi oleh Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson pada malam esok.

Pernah bersama UMNO sebelum ini, penghijrahan Afdlin ke PKR semata-mata untuk bersama-sama Anwar melakukan perubahan pada gelanggang politik dan ke arah kebaikan Malaysia untuk dinikmati oleh generasi akan datang.

Sebagai seorang bapa kepada tiga cahaya mata, Afdlin berkata, untuk melihat masa depan negara yang lebih gemilang, Malaysia harus dipimpin oleh seorang pemimpin yang sentiasa meletakkan kepentingan rakyat di hadapan.



“Datuk Seri Anwar memiliki ciri-ciri dan nilai-nilai kepimpinan yang diperlukan negara. Saya tidak ragu-ragu untuk bersama PKR, mahu membantu beliau membawa Malaysia ke landasan yang diperlukan,” ujar Afdlin lagi.

Selain Afdlin, rakannya, Datuk Hans Isaac juga sebelum ini dilihat semakin aktif dalam lapangan politik dan difahamkan PKR juga menjadi wadah pilihannya.

Ditanya maklum balas daripada golongan karyawan seni terhadap keputusannya untuk bergerak aktif dalam politik, Afdlin berkata, sebetulnya ramai rakan artis yang mempunyai keinginan sama sepertinya.



Namun, kebimbangan sebahagian besar daripada mereka, tegas Afdlin, ialah risau periuk nasi terjejas hanya kerana memberi sokongan secara terbuka pada parti politik pembangkang.

“Kita tidak boleh salahkan mereka kerana masing-masing perlu menjaga kerjaya. Namun, saya amat yakin, sekalipun memilih untuk bersama parti politik apa sekalipun, rezeki Allah yang akan tentukan.

“Perjuangan saya adalah untuk masa depan generasi akan datang termasuk anak-anak saya sendiri. Saya mahukan generasi akan datang dapat menikmati kemakmuran di bumi Malaysia,” kata Afdlin. Awani


Sebaran :


One thought on “Anwar Ibrahim seperti Nelson Mandela – Afdlin Shauki

  • March 31, 2021 at 18:56
    Permalink

    nak muntah nak muntah
    macam dah banyak kali pernah kena si afdlin ni

    Reply

Leave a Reply