Kes Adib: Peguam gesa AG beri penjelasan muktamad dan telus

Peguam terkemuka, Muhammad Haniff Khatri meminta Peguam Negara, Idrus Harun mengumumkan keputusan mengenai kes kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim.

Dalam surat terbuka kepada peguam negara, Haniff berkata sudah lebih sebulan sejak Idrus dilaporkan berjanji akan membuat keputusan mengenai kes berkenaan.

“Seperti yang Tan Sri sudah sedia maklum, setakat pada tarikh surat ini, sudah lebih dua tahun empat bulan berlalu sejak kematian Allahyarham Adib pada pada 17 Nov 2018 dan sudah lebih satu tahun enam bulan sejak keputusan mahkamah inkues pada 27 Sept 2019.

“Juga sudah satu bulan setengah sejak kenyataan terakhir Tan Sri bahawa Pejabat Tan Sri akan membuat keputusan muktamad, seperti yang dilaporkan

“Namun kesemua pihak yang terkesan terutamanya keluarga Allahyarham Adib serta majoriti rakyat Malaysia yang prihatin masih menanti keputusan muktamad kes Allahyarham Adib ini,” kata Haniff dalam satu kenyataan.

Kata Haniff, penjelasan perlu diberikan sekiranya pihak polis dalam siasatan mereka tidak dapat mengenal pasti mana-mana individu yang menyebabkan kematian Adib mahupun sekiranya mereka yang dikenal pasti tidak dapat ditahan atas sebarang sebab.

“Maka pemberian satu penjelasan yang lengkap dan telus daripada Pejabat Tan Sri akan dapat diterima oleh keluarga Allahyarham Adib dan rakyat Malaysia yang prihatin.

“Apa yang paling penting dalam hal keadaan kes seperti ini, adalah satu penyelesaian muktamad yang jujur, ikhlas dan telus yang meletakkan noktah kepada kes Allahyarham Adib ini supaya keluarga Allahyarham Adib dapat meneruskan saki baki kehidupan dengan kepastian mengetahui kesudahan kes ini.

“Itu akan sedikit sebanyak memberi ketenangan kepada jiwa mereka yang jauh lebih baik dari keadaan sekarang yang tergantung-gantung tanpa kesudahan.

Menurut Haniff, dia juga telah mengirimkan salinan surat terbuka itu ke pejabat Idrus.

Muhammad Adib, 24, adalah anggota unit Perkhidmatan Perubatan Kecemasan dari Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya yang mengalami kecederaan parah semasa kekecohan di Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya pada 27 Nov 2018.

Allahyarham meninggal dunia akibat kecederaa ketika menerima rawatan di Institut Jantung Negara pada 17 Dis 2018.

Inkues ditubuhkan berikutan perselisihan pendapat mengenai punca kematiannya, sama ada disebabkan oleh kemalangan atau serangan yang disengajakan.

Pada 27 September 2019, Mahkamah Koroner Shah Alam memutuskan bahawa kematian Adib disebabkan oleh perlakuan jenayah oleh lebih daripada dua atau tiga orang yang tidak dikenali.

Namun sehingga kini, tidak ada mana-mana individu ditahan atau didakwa atas tuduhan membunuh anggota bomba itu.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker