Empat bulan tempoh ‘genting’ PN
PETALING JAYA: Tempoh masa diberikan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk membubarkan Parlimen sebelum Ogos adalah satu tempoh panjang dan boleh membawa sebarang kemungkinan kepada semua parti politik dalam perikatan itu.
Menurut penganalisis politik, Prof. Madya Dr. Awang Azman Awang Pawi berkata, tempoh tersebut juga memberi gambaran UMNO seolah-olah masih boleh dipujuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
“Apabila masa yang diberi adalah sehingga Ogos, ini seperti membuka ruang rundingan antara kedua-dua parti itu kerana jangka masa agak panjang.
“Sebelum ini juga kita sudah mendengar pelbagai spekulasi mengenai hubungan UMNO dan Bersatu termasuk kenyataan mengatakan ahli politik daripada UMNO akan meletakkan jawatan sebagai menteri, timbalan menteri dan pengerusi Syarikat Milik Kerajaan (GLC). Hubungan antara dua parti ini sememangnya agak rapuh,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Dalam pada itu, Awang Azman berkata, pemimpin Majlis Tertinggi UMNO diharapkan supaya mempunyai pendirian tetap dalam sebarang keputusan yang dibuat presiden mereka.
“Ketegasan daripada pemimpin tertinggi UMNO, perwakilan dan akar umbi UMNO sangat diperlukan bagi memastikan UMNO berada di landasan yang sepatutnya,” jelasnya.
Dalam Perhimpunan Agung UMNO yang bermula kelmarin, seluruh perwakilan sebulat suara bersetuju menamatkan kerjasama dengan Bersatu dan PN pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, usul itu terkandung dalam ucapan dasar Presiden dengan antara salah intipati dianggap penting membabitkan keputusan Majlis Tertinggi (MT) sebelum ini.
Dalam pada itu, penganalisis politik Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr. Sivamurugan Pandian berkata, jika tiada penjajaran politik lain yang dapat menggantikan UMNO dalam PN, kerajaan itu akan roboh dengan sendiri.
“Adakah empat bulan itu mampu mengeruhkan atau menjernihkan kembali hubungan?
Ini satu dilema bagi Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas kata putus telah diberikan.
“Kerajaan tanpa UMNO akan beri impak jika tidak berlaku penjajaran lain .Sekiranya UMNO menarik diri keseluruhan gabungan, kerajaan akan kehilangan sokongan Parlimen perlu dibubarkan,” ujarnya.
PAU2020 : Ahli UMNO sokong parti lain lebih teruk dari yang lompat