Gangguan bekalan air 48 jam, 68 jam bermula 30 Mac, 6 April ini


KUALA LUMPUR – Sebanyak 88 kawasan di wilayah Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak dan Kuala Lumpur dijangka mengalami gangguan bekalan air secara berjadual antara 30 Mac hingga 1 April selama 48 jam serta 6 April hingga 9 April ini selama 68 jam.

Gangguan bekalan air itu berikutan kerja-kerja penyenggaraan secara berjadual untuk beberapa aset-aset utama Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) akan dilaksanakan pada tahun ini.

Menurut Ketua Komunikasi Korporatnya, Elina Baseri, pihaknya telah mendapat kelulusan daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) bagi melaksanakan kerja-kerja penyenggaraan aset utama secara berjadual.

“Kerja-kerja pengalihan dan penyambungan paip baharu berdekatan kilang Carlsberg di Persiaran Selangor Seksyen 15, Shah Alam yang bakal menyebabkan gangguan bekalan air berjadual selama 48 jam.

“Kerja-kerja pengalihan dan penyambungan paip ini akan dijalankan pada 30 Mac 2021, jam 9 pagi hingga 9 malam. Kerja-kerja ini telah dijadualkan pada 12 Januari 2021 tetapi ditangguhkan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Kerja-kerja pengalihan dan penyambungan paip ini akan menyebabkan gangguan bekalan air berjadual di lima kawasan di Wilayah Petaling, 14 kawasan di Wilayah Klang dan 11 kawasan di Wilayah Shah Alam bermula jam 9 pagi, 30 Mac 2021.

“Bekalan air dijangka akan pulih sepenuhnya pada jam 9 malam, 1 April 2021,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, kerja-kerja penggantian injap di jajaran paip air mentah dari Empangan Klang Gates dan menyebabkan henti tugas sementara Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Nanas dan Wangsa Maju bakal menyebabkan gangguan bekalan air berjadual selama 68 jam.

“Kerja-kerja penggantian injap ini akan dilaksanakan pada 6 April 2021, jam 9 pagi hingga 9 malam.

“Berikutan henti tugas ini, 12 kawasan di Wilayah Gombak dan 46 kawasan di Wilayah Kuala Lumpur akan mengalami gangguan bekalan air berjadual bermula jam 9 pagi, 6 April 2021.

“Bekalan air dijangka akan pulih sepenuhnya pada 9 April 2021, jam 5 pagi,” katanya.

Selain itu, Elina berkata tempoh gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan-kawasan yang terjejas berbeza, bergantung kepada kuantiti bekalan air, jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan.

“Air Selangor menasihatkan para pengguna terjejas untuk menyimpan bekalan air secukupnya dan menggunakan air secara berhemat sepanjang tempoh gangguan bekalan air berjadual ini,” katanya.

Dalam pada itu, Air Selangor juga dalam perancangan untuk melaksanakan kerja-kerja penyenggaraan aset-aset utama di LRA Cheras Batu 11 pada 15 Jun 2021, LRA Sungai Langat pada 6 Julai 2021 dan LRA Sungai Selangor Fasa 1 pada 5 Oktober 2021.

“Walau bagaimanapun, pelaksanaan kerja-kerja berjadual ini tertakluk kepada kelulusan daripada SPAN.

“Air Selangor akan memaklumkan senarai kawasan-kawasan yang terlibat dan jadual pemulihan bekalan air dengan lebih terperinci setelah kelulusan SPAN diperolehi,” katanya.

Katanya lagi, pelaksanaan kerja-kerja penyenggaraan aset-aset utama yang bakal dilaksanakan ini telah mengambil kira pelbagai faktor sebelum dilaksanakan.

Antaranya mengelakkan pelaksanaan kerja-kerja penyenggaraan dalam tempoh masa tujuh hari sebelum dan tujuh hari selepas perayaan utama yang telah diwartakan oleh Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.

“Mengelakkan tarikh semasa berlangsungnya sesuatu acara penting peringkat antarabangsa, nasional atau negeri seperti acara sukan, persidangan atau mesyuarat serta mengelakkan tarikh semasa peperiksaan utama sekolah kerajaan,” katanya lagi. MG

Bekalan air ke 7 daerah di Lembah Klang terganggu kerana pencemaran

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker